
KUALA LUMPUR, 3 September – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyerahkan sepenuhnya kepada persatuan bagi menentukan kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelang pemilihan Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu pada 17 September ini.
- Pemimpin terpilih mesti mempunyai kriteria dan kemampuan mengangkat martabat bola sepak negara ke tahap lebih membanggakan.
- Individu diberi mandat diharap mampu memacu perubahan, bekerja secara berkumpulan dan membentuk pasukan kepimpinan yang mantap.
- Kepimpinan baharu perlu memberi tumpuan kepada usaha memajukan bola sepak negara serta mengembalikan kegemilangan di persada antarabangsa.
Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pemimpin yang dipilih perlu mempunyai kriteria serta kemampuan untuk mengangkat martabat bola sepak negara ke tahap lebih membanggakan.
“Berkenaan dengan pemilihan calon dan juga siapakah yang akan dinobatkan ataupun terpilih dan sebagainya, saya menyerahkan perkara itu kepada persatuan,” katanya ketika ditemui selepas sesi lawatan ke venue latihan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.
Beliau berharap individu yang diberi mandat kelak mampu memacu perubahan, bekerja secara berkumpulan dan membentuk pasukan kepimpinan yang mantap.
Menurutnya, kepimpinan baharu FAM perlu memberi tumpuan kepada usaha memajukan bola sepak negara serta mengembalikan zaman kegemilangannya di persada antarabangsa.
“Harapan kita adalah sesiapa pun calon yang terpilih merupakan individu yang mampu bekerja secara berkumpulan serta mengangkat martabat bukan sahaja persatuan, tetapi bola sepak negara kita ke arah yang lebih maju,” katanya.
Pemilihan pada 17 September ini akan menyaksikan persaingan bagi mengisi jawatan penting dalam Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk baki penggal 2025-2029.