Misi Azeem Fahmi ‘tukar warna’ pingat di Aichi-Nagoya

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 September – Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi menyasarkan untuk memperbaiki pencapaian pingat gangsa yang dimenanginya pada edisi lalu apabila turun beraksi pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan terbaik musim ini 10.09 saat, dicatatkan di NCAA Kentucky pada Mei.
  • Tahap kecergasan Azeem kini di tahap terbaik sebelum berlepas ke Muscat menyertai Kejohanan Olahraga Grand Prix Oman.
  • Juara 100m Kejohanan Olahraga Bawah 23 Tahun Asia 2026, berharap penampilan di Oman tingkatkan motivasi dan keyakinan.
  • Penyelaras Program Kejurulatihan Olahraga Malaysia optimis Azeem mampu mencatat masa bawah 10 saat jika capai prestasi kemuncak.

Pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) dengan catatan 10.09 saat (s) itu menegaskan fokus utamanya adalah untuk kembali menaiki podium dan merealisasikan impian “menukar warna” pingat pada penampilan keduanya di temasya berkenaan.

“Untuk Sukan Asia edisi sebelum ini, saya berjaya membawa pulang gangsa. Sudah tentu sasaran kali ini tetap sama iaitu berada di podium, namun insya-Allah saya akan cuba yang terbaik untuk mengubah warna pingat tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi lawatan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Mohd Sumali Reduan ke venue latihan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Mengulas persediaan semasa, atlet berusia 22 tahun itu berkata tahap kecergasannya kini berada pada tahap terbaik sebelum berlepas ke Muscat bagi menyertai Kejohanan Olahraga Grand Prix Oman, Sabtu ini.

Azeem yang juga juara 100m Kejohanan Olahraga Bawah 23 Tahun Asia 2026 berharap penampilan di Oman dapat meningkatkan motivasi dan keyakinannya sebelum menghadapi cabaran sebenar di Jepun dari 19 September hingga 4 Oktober depan.

Sementara itu, Penyelaras Program Kejurulatihan Olahraga Malaysia (MA), Mohd Manshahar Abd Jalil optimis Azeem mampu mencatat masa bawah 10 saat sekiranya berada pada prestasi kemuncak.

Azeem dijadualkan beraksi dalam acara 100m dan 4x100m pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Terdahulu, catatan terbaik Azeem musim ini ialah 10.09s yang dilakukannya pada Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Kentucky, Amerika Syarikat pada Mei lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.