The Suspects AKA tampil dengan album ‘Stand Your Ground’

The Suspects AKA dianggotai Rizal G (Vokalis), Rudy (gitar utama), Matt (gitar kedua) dan Rumie (dram).

KUALA LUMPUR, 2 September – Lebih dua dekad berada dalam dunia muzik jalanan tempatan tidak pernah melunturkan semangat The Suspects AKA untuk mempertahankan identiti dan genre yang menjadi nadi perjuangan mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Album baru 'Stand Your Ground' memuatkan tujuh lagu: empat karya baharu dan tiga karya lama yang dirakam semula.
  • Diterbitkan melalui label sendiri Blacknight AllStars Records, memberi kebebasan lebih luas kepada kumpulan.
  • Tiga lagu lama dirakam semula dengan produksi baharu untuk menghubungkan karya kepada pendengar generasi baharu.
  • Rakaman di RML Studio dan mastering di Nashville, Texas, menampilkan bunyi lebih matang tanpa mengubah identiti jalanan mereka.

Sinonim dengan genre Street Rock dan Oi!, kumpulan itu kini membuka lembaran baharu menerusi album ‘Stand Your Ground’, yang menghimpunkan tujuh lagu, termasuk empat karya baharu dan tiga lagu lama yang diberi nafas segar.

Vokalis The Suspects AKA, Rizal G berkata, pengalaman lebih 20 tahun dalam industri banyak mematangkan cara mereka menghasilkan muzik tanpa mengorbankan identiti asal.

“Stand Your Ground adalah hasil pengalaman kami untuk menghasilkan bunyi lebih matang dan kemas, tetapi masih mengekalkan identiti The Suspects AKA,” katanya.

Selain Rizal G, The Suspects AKA kini turut dianggotai Rudy (gitar utama), Matt (gitar kedua) dan Rumie (dram).

Menariknya, album berkenaan turut menandakan langkah baharu apabila diterbitkan menerusi label sendiri, ‘Blacknight AllStars Records’, sekali gus memberikan kumpulan itu kebebasan lebih luas dalam menentukan hala tuju muzik mereka.

Menurut Rizal G, keputusan itu hadir selepas mereka melalui perjalanan panjang bersama dan kini bersedia mengambil tanggungjawab lebih besar terhadap karya sendiri.

Daripada tujuh lagu dalam album berkenaan, tiga karya terdahulu iaitu Kami Yang Disyaki, Kuala Lumpur dan satu lagi karya lama dirakam semula dengan susunan serta produksi yang lebih segar.

Bagi The Suspects AKA, rakaman semula itu bukan sekadar mengimbau nostalgia, sebaliknya usaha menghubungkan karya lama dengan pendengar generasi baharu.

“Kami tidak mahu sekadar mengulanginya. Kami berikan sentuhan produksi yang lebih baik supaya lagu itu boleh dinikmati dalam bentuk yang lebih segar,” katanya.

Album ‘Stand Your Ground’ turut mengekalkan elemen sing-a-long yang menjadi antara identiti kumpulan itu, namun susunan muzik diperkemaskan supaya lebih mudah diterima khalayak lebih luas.

Tujuh lagu yang dimuatkan ialah Syak Wasangka, Kami Yang Disyaki, Stand Your Ground, Masih Di Sini, Kuala Lumpur, Champion Six dan We Are The Suspects.

Rakaman album dilakukan di RML Studio, manakala proses mastering disempurnakan di Nashville Studio, Texas, Amerika Syarikat.

Bagi kumpulan yang lahir daripada lingkungan muzik jalanan dan sub-budaya tempatan itu, ‘Stand Your Ground’ bukan usaha untuk mengubah siapa mereka, sebaliknya bukti bahawa selepas lebih dua dekad, The Suspects AKA masih teguh berdiri dengan muzik dan identiti sendiri.

Daripada Kami Yang Disyaki kepada ‘Stand Your Ground’, mereka terus membuktikan bahawa muzik yang lahir dari jalanan masih mempunyai tenaga, cerita dan tempat tersendiri dalam landskap muzik Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.