
SEPANG, 2 September – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membuka peluang kepada 500 sukarelawan untuk terlibat dalam penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), dari 2 hingga 4 Oktober depan.
- Permohonan dibuka secara dalam talian menerusi platform MyProfile di bawah Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES).
- Terbuka kepada warganegara Malaysia 18 tahun ke atas yang sihat, berdisiplin, berintegriti dan mempunyai kemahiran komunikasi baik.
- KBS menyediakan 1,000 tempat pendaftaran; 500 untuk F1 dan 500 untuk MotoGP, dengan tugasan dalam empat skop utama.
Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, permohonan dibuka mulai hari ini secara dalam talian menerusi platform MyProfile di bawah Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES).
Menurut beliau, peluang itu terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan belia yang mahu memperoleh pengalaman dalam pengurusan acara sukan bertaraf antarabangsa.
“Kita membuka peluang ini kepada seluruh rakyat Malaysia kerana sesebuah penganjuran tidak akan berhasil hanya dengan pengurusan atasan yang baik, sebaliknya ia turut melibatkan rakyat secara keseluruhannya.
“Inisiatif ini memberikan ruang kepada mereka yang mungkin belum pernah ke SIC seperti pelajar kolej, mahasiswa universiti atau golongan belia yang tidak berpeluang membeli tiket.
“Ini adalah kesempatan emas untuk mereka berada di SIC, bukan sekadar sebagai penonton, tetapi sebagai sebahagian daripada tenaga penting yang menjayakan penganjuran F1 Bahrain di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Pendaftaran Sukarelawan Rakan Muda sempena Penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026, di sini, hari ini.
Dr Mohammed Taufiq berkata, KBS menyediakan 1,000 tempat pendaftaran, dengan 500 peserta pertama dipilih untuk bertugas pada perlumbaan Formula 1, manakala 500 peserta berikutnya akan ditempatkan sebagai sukarelawan pada perlumbaan MotoGP yang turut berlangsung pada Oktober.
“Permohonan terbuka kepada warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas, sihat tubuh badan, berdisiplin dan berintegriti serta mempunyai kemahiran komunikasi yang baik.
“Sukarelawan terpilih akan bertugas di bawah seliaan Jabatan Belia dan Sukan Negara menerusi inisiatif Rakan Muda dalam empat skop utama,” katanya.
Empat skop berkenaan meliputi perkhidmatan pelanggan, tiket dan kemasukan, perhubungan serta penyambut tetamu dan pengurusan kawasan atau litar.
Menurutnya, penyertaan itu bukan sahaja memberi pengalaman dalam pengurusan acara sukan permotoran, malah membuka peluang kepada golongan belia membina jaringan dengan pengunjung antarabangsa, agensi besar dan pihak yang terlibat dalam penganjuran F1.
Pendaftaran akan ditutup selepas 1,000 permohonan awal diterima.
Penganjuran Formula 1 di Litar Antarabangsa Sepang kembali selepas kali terakhir berlangsung pada 2017.