
SERDANG, 2 September — Laman Padi MAHA 2026 di MAEPS Serdang mencatat sejarah apabila karya seni Paddy Art berjaya meraih pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai “Formasi Seni Padi Terbesar” berukuran 119 kaki x 126 kaki.
- Laman Padi MAHA jadi platform menghimpunkan pesawah, pemain industri, penginovasi dan masyarakat meraikan kemajuan serta masa depan sektor padi dan beras negara.
- Pameran memaparkan ekosistem penuh: penanaman, pemprosesan beras, penggunaan semula sisa padi dan teknologi mekanisasi serta automasi.
- Karya JATI "Natural Waves of Malaysia" tonjol kreativiti padi, hasil kerjasama Serba Wangi dan membuka peluang agropelancongan serta perspektif inovatif.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu berkata, Laman Padi MAHA 2026 menjadi platform yang menghimpunkan pesawah, pemain industri, penginovasi serta masyarakat dalam meraikan kemajuan dan masa depan sektor padi dan beras negara.
Menurut beliau, mengangkat tema MAHA 2026, “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”, Laman Padi mempamerkan ekosistem sektor padi dan beras bermula daripada peringkat penanaman, pemprosesan beras sehingga penggunaan semula sisa tanaman padi.
Laman Padi turut menyediakan pelbagai aktiviti sepanjang 10 hari penganjuran MAHA, termasuk pameran dan jualan, demonstrasi masakan, demonstrasi pemprosesan padi kepada beras, teknologi mekanisasi dan automasi serta sukan rakyat.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan LK Labuan, Low Kok Kean berkata, pencapaian itu menjadi kebanggaan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan.
Menurutnya, sebagai jenama yang berakar umbi dalam industri beras, JATI mahu mengetengahkan tanaman padi dalam bentuk yang berbeza selain menyerlahkan kreativiti serta keupayaan sektor pertanian negara.
“Natural Waves of Malaysia mendapat inspirasi daripada pergerakan semula jadi tanaman padi yang melentur dan beralun ditiup angin, menghasilkan hamparan hijau dan keemasan dalam skala yang besar.
“Bagi JATI, pencapaian ini bukan sekadar kejayaan mencipta rekod, malah menjadi medium untuk mengetengahkan kreativiti dalam sektor pertanian serta membuka perspektif baharu terhadap potensi sawah padi sebagai ruang penghasilan karya yang lebih inovatif,” katanya.
Jelasnya, karya berkenaan direalisasikan menerusi kerjasama strategik dengan Serba Wangi Sdn. Bhd. melalui jenama JATI, sekali gus membuktikan potensi padi dan beras untuk diterjemahkan dalam bentuk seni serta mencipta nilai baharu melalui tarikan agropelancongan.