Lelaki dipercayai cetus provokasi di Dataran Putrajaya positif dadah

Tangkap layar video orang awam susulan kejadian provokasi sehingga cuba merempuh pagar kawasan tempat duduk penonton ketika Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Putrajaya

KUALA LUMPUR, 2 September – Lelaki berusia 30 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian provokasi sehingga cuba merempuh pagar kawasan tempat duduk penonton ketika Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Putrajaya didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis terima lima laporan dan ambil tujuh rakaman percakapan saksi berhubung kejadian.
  • Individu hadir menyerah diri di IPD Putrajaya kira-kira 12.15 tengah malam dan ditahan.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 505(b), Seksyen 233, Seksyen 14 dan Seksyen 15(1)(a) berkaitan pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Aidi Sham Mohamed menerusi kenyataan memaklumkan, keputusan itu diperoleh setelah suspek menjalani ujian air kencing.

“Pihak Polis telah menerima lima laporan berkaitan kejadian provokasi semasa Majlis Sambutan Kemerdekaan di Dataran Putrajaya. Sebanyak tujuh rakaman percakapan saksi telah diambil,” menurut kenyataan itu.

Pihak polis mengesahkan tangkapan ke atas itu dilakukan setelah individu tersebut hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada Selasa kira-kira 12.15 tengah malam.

Dalam perkembangan berkaitan, suspek telah direman satu hari bermula hari ini selepas permohonan dibuat polis di Mahkamah Majistret Putrajaya. Perintah reman itu dikeluarkan Masjistret Ezrene Zakariah.

Kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Lelaki tersebut turut disiasat bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, setelah ujian air kencing didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

Isnin lalu, tular di media sosial tindakan seorang lelaki yang mencetuskan provokasi apabila cuba melompat pagar untuk masuk ke tempat duduk, ketika sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.