Harith Danial optimis kembali lebih kompetitif

Harith Danial

KUALA LUMPUR, 2 September – Atlet skuasy negara, Harith Danial optimis untuk kembali lebih kompetitif selepas mengalami kecederaan serius ketika beraksi pada kejohanan profesional di Singapura pada 26 Julai lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokusnya kini pada rehabilitasi berperingkat tanpa terlalu memikirkan tempoh masa untuk kembali beraksi.
  • Beliau menjalani imbasan MRI selepas pulang ke Malaysia dan disahkan mengalami kecederaan yang memerlukan pembedahan.
  • Aspek psikologi diberi perhatian manakala SRAM utamakan kebajikan sebelum memaksa beliau kembali; sasar Sukan SEA tahun depan.

Tumpuannya kini adalah menjalani proses rehabilitasi secara berperingkat tanpa terlalu memikirkan tempoh masa untuk kembali beraksi.

“Saya rasa saya akan kembali lebih kuat selepas saya pulih,” katanya ketika ditemui RTM.

Kecederaan itu berlaku ketika perlawanan akhir selepas kakinya mengalami tekanan dan menyebabkan beliau tidak dapat merasakan keseluruhan bahagian kaki.

Dalam pada itu, beliau kemudiannya menjalani pemeriksaan termasuk imbasan MRI (Pengimejan Resonans Magnetik) selepas pulang ke Malaysia sebelum disahkan mengalami kecederaan yang memerlukan pembedahan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Vellapandian Ponnusamy berkata, aspek psikologi turut diberi perhatian sepanjang tempoh rehabilitasi Harith.

“Pemikiran positif penting kerana ia boleh memberi kesan terhadap proses pemulihan atlet,” katanya.

Menurut Vellapandian Ponnusamy kecederaan itu merupakan antara kecederaan yang boleh berlaku dalam kalangan atlet, khususnya pemain skuasy dan badminton.

“Harith tidak akan dipaksa untuk kembali beraksi dalam tempoh singkat sebaliknya proses rehabilitasi akan disusun secara teratur bagi memastikan pemulihan berlaku dengan baik dan mengurangkan risiko kecederaan berulang,” katanya lagi.

Dalam pada itu Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) juga menyasarkan Harith dapat kembali bersedia untuk menghadapi Sukan SEA tahun depan, namun kebajikan dan tahap kesediaan fizikal atlet kekal menjadi keutamaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.