Kehadiran 30,000 pengunjung bukti semangat patriotik rakyat Negeri Sembilan

Foto BERNAMA

SEREMBAN, 31 Ogos – Keadaan cuaca baik dan bacaan jerebu yang terkawal membolehkan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Sembilan berlangsung lancar dengan kira-kira 30,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan di kawasan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keberangkatan Tuanku Muhriz dan Tunku Ampuan Besar serta pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama.
  • Bacaan ikrar oleh Menteri Besar Datuk Ismail Lasim disusuli lima das tembakan meriam.
  • Pentomen sejarah Tuanku Antah dipentaskan oleh Datuk Jalaluddin Hassan melibatkan 350 peserta.
  • Perbarisan dimulakan pembawa Jalur Gemilang gergasi, diikuti 82 kontinjen dan lebih 4,000 peserta.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat tiba di lokasi pada 8.00 pagi, diiringi Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.

Tuanku Muhriz kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja pada 8.30 pagi.

Antara tarikan utama sambutan tahun ini ialah bacaan ikrar oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim yang diiringi lima das tembakan meriam, selain persembahan pentomen membabitkan 350 peserta yang mengisahkan sejarah Tuanku Antah dan disampaikan Datuk Jalaluddin Hassan.

Perbarisan didahului pembawa Jalur Gemilang gergasi berukuran 20 X 40 kaki daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), diikuti 82 kontinjen daripada jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, pihak swasta, institusi pengajian tinggi serta badan beruniform sekolah yang membabitkan lebih 4,000 peserta.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata keadaan cuaca yang baik dan bacaan jerebu yang terkawal membolehkan sambutan berlangsung seperti dirancang, selain kehadiran menggalakkan orang ramai menjadi manifestasi semangat dan kecintaan rakyat terhadap negara.

“Alhamdulillah, pagi ini kita telah dapat melangsungkan sambutan dengan jayanya. Kehadiran itu sendiri sudah cukup untuk kita menyatakan bahawa mereka bersemangat bersama-sama meraikan Hari Kebangsaan negara kita.

“Bacaan jerebu pun terkawal dan cuaca juga tidak hujan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.