
KUALA LUMPUR 31 Ogos – Universiti Malaya (UM) menganjurkan teater interaktif kemerdekaan dengan melakonkan semula detik bersejarah yang dilalui negara pada 31 Ogos 1957 bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme serta kefahaman mendalam mengenai sejarah kemerdekaan negara.
- Disusun mengikut garis masa dan fakta sejarah, program dikemas kini setiap tahun supaya generasi muda terus memahami dan menghargai sejarah.
- Kajian dan persiapan melibatkan pakar dijalankan lebih enam bulan untuk memastikan ketepatan tanpa penyelewengan fakta.
- Pementasan didokumentasikan secara visual dan dirancang terperinci, memberi impak pembelajaran serta menjadi kenangan kepada pelajar, hampir 5,000 hadir.
Naib Canselor UM, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, program tersebut disusun dengan teliti berdasarkan garis masa kejadian bagi memastikan setiap babak yang dipersembahkan selari dengan fakta sejarah.
” Perkara sedemikian perlu dikemas kini setiap tahun kerana generasi kita sentiasa berubah. Tambahan pula dengan dunia digital berkembang semakin pesat, kita tidak mahu sejarah itu dihilangkan begitu sahaja.
“Jadi UM mengambil inisiatif mendokumentasikan semula kejadian ini supaya tidak dilupakan oleh generasi hari ini,” katanya semasa hadir menyaksikan persembahan teater interaktif kemerdekaan di sini.
Tambah beliau, menerusi program berkenaan, pihaknya tidak mengubah atau meminda fakta sejarah, bagi memastikan generasi muda dapat menghayati kepayahan yang dilalui dalam mencapai kemerdekaan.
Bagi memastikan ketepatan sejarah tanpa sebarang penyelewengan fakta pula, proses kajian dan persiapan program telah dijalankan selama lebih enam bulan dengan pembabitan pakar dalam bidang berkaitan.
Hampir 5,000 orang peserta hadir bagi menyaksikan teater interaktif berkenaan.
Selain dibuat secara fizikal, pihak universiti turut mendokumentasikan keseluruhan lakonan semula tersebut melalui bentuk visual bagi memberi impak pembelajaran yang lebih berkesan.
Sementara itu, Pengarah projek teater yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Prof. Zamri Radzi berharap agar pementasan tersebut turut menjadi kenangan kepada pelajar dan sesiapa sahaja yang menyaksikan teater ini pada hari ini.
“Pihak kami diminta untuk menyusun semula semuanya mengikut fakta sejarah termasuk kronologi peristiwa serta maklumat lain secara terperinci.
“Dengan mengambil jiwa semangat tahun 1957, ia dijelmakan melalui pementasan termasuklah aspek tata ruang, individu yang terlibat serta peristiwa yang berlaku pada tahun 1957,” katanya.