Pembonceng maut, penunggang motosikal parah langgar pacuan empat roda

Foto RTM

BINTANGOR, 31 Ogos – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka melanggar belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diletakkan di bahu jalan di Kilometer 489.4 Jalan KJD, Bintangor, pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembonceng, Depa Saong, 65, dari Rumah Kinchu, disahkan maut di tempat kejadian.
  • Penunggang berusia 30 tahun mengalami kecederaan parah pada kaki dan tangan.
  • Penunggang dibawa ke Hospital Sarikei untuk pengambilan sampel darah bagi ujian alkohol dan dadah.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; kedua-dua kenderaan ditahan untuk pemeriksaan PUSPAKOM.

Ketua Polis Daerah Meradong DSP Tansli Mering berkata dalam kejadian kira-kira 11.40 malam itu, pembonceng motosikal, Depa Saong, 65, dari Rumah Kinchu, Batu 8 Ulu Mador, Meradong, meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata mangsa merupakan pembonceng motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 30 tahun.

“Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki dan tangan, manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Tansli berkata siasatan awal mendapati motosikal berkenaan dalam perjalanan dari Sibu menuju Bintangor sebelum melanggar bahagian belakang kanan kenderaan pacuan empat roda yang diletakkan di bahu kiri jalan.

Akibat pelanggaran itu, motosikal terbabas ke bahu kiri jalan, manakala penunggang dan pembonceng tercampak ke lorong kiri jalan menghala ke Bintangor.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian penunggang yang disyaki menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol.

“Penunggang dibawa ke Hospital Sarikei bagi pengambilan sampel darah untuk ujian alkohol dan dadah, manakala mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kedua-dua kenderaan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Meradong untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.