
KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Seramai 55 rakyat Malaysia di Nepal manakala 36 lagi di China dilaporkan masih belum dapat dihubungi setakat jam 8 malam pada Sabtu, susulan bencana banjir yang berlaku 26 Ogos lalu.
- Kementerian Luar bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Nepal dan China bagi mengesan dan memperolehi perkembangan rakyat Malaysia yang gagal dihubungi.
- Perkembangan disalurkan terus kepada waris terdekat menurut prosedur konsular; pegawai konsular menghubungi waris berdasarkan maklumat tersedia.
- Bilik Operasi Kementerian beroperasi 24 jam; waris boleh hubungi talian +603 8887 4570 atau emel Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dan Beijing.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan di Nepal dan China bagi mengesan serta mendapatkan perkembangan terkini mengenai rakyat Malaysia yang gagal dihubungi.
“Kementerian turut menjalankan semakan silang maklumat yang diterima dari kedua-dua negara bagi mengenal pasti sebarang pertindihan dalam laporan,” menurut kenyataan tersebut.
Menurut Kementerian, angka berkenaan akan terus dikemas kini apabila hubungan berjaya diwujudkan dengan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi, selain menerima maklumat lanjut daripada pihak berkuasa dan ahli keluarga.
Dalam pada itu, Kementerian memaklumkan perkembangan berkaitan kes individu disalurkan secara terus kepada waris terdekat yang telah disahkan, selaras dengan prosedur konsular.
Pegawai konsular juga telah menghubungi waris terdekat yang dikenal pasti berdasarkan maklumat tersedia bagi menyampaikan perkembangan terkini.
Kementerian menegaskan maklumat peribadi rakyat Malaysia yang terjejas tidak akan didedahkan kepada umum tanpa kebenaran waris terdekat.
Sehubungan itu, semua pihak termasuk pengamal media dan masyarakat umum diminta merujuk kepada angka rasmi yang dikeluarkan Kementerian serta menghormati privasi keluarga yang terjejas.
Bilik Operasi Kementerian Luar di Putrajaya terus beroperasi 24 jam bagi membantu rakyat Malaysia yang terjejas serta ahli keluarga mereka.
Ahli keluarga terdekat yang masih belum menyalurkan maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Operasi Kementerian di talian +603 8887 4570 atau melalui e-mel dutyofficer@kln.gov.my.
Maklumat juga boleh disalurkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu melalui mwkathmandu@kln.gov.my atau Kedutaan Besar Malaysia di Beijing melalui mwbeijing@kln.gov.my, dengan salinan kepada Bilik Operasi Kementerian.