Raja Permaisuri Agong berangkat ke Majlis Santapan Diraja UTM 2026

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Diraja Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 2026 di sini pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • UTM menerima sumbangan RM16 juta tahun ini, kumulatif Tabung Endowmen RM183.72 juta dan 1,013 biasiswa Endowmen dianugerahkan kepada pelajar B40.
  • Dana digunakan untuk biasiswa, memperkukuh aktiviti penyelidikan serta pembangunan makmal dan kemudahan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan.
  • UTM memperluas saluran sumbangan melalui endowmen, zakat dan wakaf serta libat urus alumni untuk memastikan bantuan disalur kepada pelajar benar-benar memerlukan.

Turut berangkat ke acara dwitahunan itu ialah Pro-Canselor UTM, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.

Pada majlis berkenaan, Raja Zarith Sofiah turut berkenan menyaksikan persembahan tayangan video dan acara Peluncuran Inisiatif Endowmen Penerbitan Buku serta persembahan cek cura penyumbang dana bagi pembangunan pendidikan dan kebajikan pelajar.

Terdahulu, Naib Canselor UTM Profesor Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dalam sembah ucapannya memaklumkan, sebanyak RM16 juta, sumbangan telah diterima oleh pihak UTM pada tahun ini.

Katanya, sehingga kini, UTM telah menganugerahkan 1,013 Biasiswa Endowmen kepada pelajar B40, manakala secara kumulatif, Tabung Endowmen UTM telah mengumpulkan RM183.72 juta, dengan RM30.93 juta telah dimanfaatkan untuk pemberian biasiswa.

Selain bantuan pendidikan, sebahagian dana yang dikumpulkan turut disalurkan untuk memperkukuh aktiviti penyelidikan serta pembangunan makmal dan kemudahan bagi tujuan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan.

“Yang pertama dana yang dikumpulkan ini akan disumbangkan kepada dana endowmen yang menyediakan biasiswa kepada golongan yang memerlukan.

“Kedua, sebahagian lagi akan disalurkan bagi memperkukuh aktiviti penyelidikan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Ketiga, sebahagian dana akan digunakan untuk pembangunan makmal serta penyediaan kemudahan bagi menyokong aktiviti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan. Kesemua penggunaan dana ini adalah selaras dengan niat dan hasrat para penyumbang yang telah memberikan sumbangan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Santapan Diraja UTM 2026.

Majlis tersebut dianjurkan bagi meraikan komitmen dan sokongan berterusan para penyumbang terhadap pembangunan pendidikan serta kebajikan pelajar UTM.

Dr.Mohd Shafry berkata, institusi itu juga akan terus memperkenalkan pelbagai inisiatif dan saluran sumbangan menerusi endowmen, zakat dan wakaf bagi memberi ruang kepada individu yang berkemampuan, alumni serta golongan filantropi menyumbang kepada pembangunan pendidikan.

Usaha itu turut dilaksanakan melalui pelbagai sesi libat urus bersama alumni dan penyumbang bagi membincangkan kaedah sumbangan untuk membantu golongan yang memerlukan.

Dalam pemilihan penerima bantuan pula, UTM mengambil kira beberapa kriteria termasuk latar belakang keluarga, pencapaian akademik serta penglibatan dalam aktiviti kokurikulum, khususnya bagi pelajar lepasan diploma bagi memastikan bantuan disalurkan kepada pelajar yang benar-benar memerlukan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.