AUKU perlu disemak semula selepas lima dekad – DS Dr Zambry

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) di UM / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) wajar disemak dan diteliti semula selepas lebih lima dekad bagi memastikan peruntukannya kekal relevan dengan perkembangan sektor pendidikan tinggi negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • AUKU perlu disemak menyeluruh selepas lebih lima dekad untuk memastikan relevansi dengan perkembangan pendidikan tinggi.
  • Semakan harus mempertimbangkan kebebasan mahasiswa, penubuhan, pentadbiran universiti dan tadbir urus institusi pendidikan tinggi.
  • Kerajaan memberi keutamaan kepada aspek berkaitan mahasiswa selaras arahan Perdana Menteri tentang pemansuhan AUKU.
  • Perincian serta proses semakan akan dibincangkan di peringkat Kabinet dan diteliti dari semasa ke semasa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, semakan itu perlu dibuat secara menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk kebebasan mahasiswa, penubuhan dan pentadbiran universiti serta tadbir urus institusi pendidikan tinggi.

“AUKU ini sudah lima dekad, tentunya ada perkara-perkara yang perlu kita lihat, semua aspek. Negara sudah berkembang, maju dalam pelbagai bidang, bidang pendidikan.

“Jadi tentunya ada perkara-perkara yang perlu kita lihat balik. Sebab dibuat dulu, lima dekad lalu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 di Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan bagaimanapun memberi keutamaan kepada aspek berkaitan mahasiswa, selaras dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung proses pemansuhan AUKU.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Dr Zambry berkata, perkara itu telah dibincangkan di peringkat Kabinet, manakala perincian proses berkenaan akan terus diteliti dan dibincangkan dari semasa ke semasa.

“Bila kita melihat dalam konteks AUKU secara keseluruhan, ia akan melibatkan semua aspek. AUKU itu ialah akta ‘ibu universiti’ bagi penubuhan sesebuah universiti,” katanya.

Menurutnya, AUKU mengandungi 44 seksyen, dengan tujuh daripadanya berkaitan mahasiswa, manakala peruntukan lain meliputi penubuhan dan pentadbiran universiti, kakitangan akademik serta tadbir urus.

Justeru, beliau berkata penelitian terhadap AUKU perlu dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan sebarang perubahan yang dilaksanakan selari dengan keperluan dan perkembangan semasa sektor pendidikan tinggi negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.