Kota Bharu sasar hab fesyen lelaki, martabat seni dan tingkat ekonomi kreatif

The Kota Bharu Men’s
Fashion Week di sebuah pasar raya di Kota Bharu, Kelantan

KOTA BHARU, 28 Ogos – Kota Bharu bukan lagi sekadar sinonim dengan batik, songket dan busana tradisional, malah kini disasarkan muncul sebagai hab fesyen lelaki di pantai timur yang mampu mengangkat seni, budaya dan kreativiti tempatan ke peringkat lebih luas.

RINGKASAN BERITA AI
  • TKBM mensasarkan menjadikan Kota Bharu hab fesyen lelaki, menyediakan platform tetap untuk pereka tempatan dan pembangunan perniagaan kreatif.
  • Acara menghimpunkan pereka dari Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selatan Thailand, mewujudkan jaringan kerjasama kreatif merentasi sempadan.
  • Penganjuran memberi peluang kepada pereka dan model tempatan, memartabatkan seni, mempromosi identiti Kelantan ke peringkat negara.

Pengasas The Kota Bharu Men’s Fashion Week (TKBM) yang juga pelakon, Datuk Seri Shah Rezza berkata, penganjuran acara itu bukan sahaja memberi ruang kepada pereka tempatan mengetengahkan karya, malah berpotensi menjadi platform memperkenalkan identiti serta warisan Kelantan kepada pelancong dan masyarakat luar.

Penganjuran kali ini menghimpunkan pereka dan pengkarya dari Kelantan, Terengganu, Pahang serta Selatan Thailand, sekali gus mewujudkan jaringan kerjasama kreatif merentasi sempadan.

“Hasrat saya adalah untuk menjadikan Kota Bharu sebagai hab fesyen bagi pereka pakaian lelaki. Sebab itu, kita namakan acara ini The Kota Bharu Men’s Fashion Week.

“Para pengkarya dari pantai timur, termasuk Terengganu dan Pahang, serta Selatan Thailand akan datang untuk berkarya. Insya-Allah, tahun hadapan, mungkin pada Mei, kita akan mengadakan The Kota Bharu Men’s Fashion Week selama seminggu di pasar raya di sini dan sebuah hotel,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM ketika selepas acara The Kota Bharu Men’s
Fashion Week di Mydin Mall Tunjung, di sini hari ini.

Sementara itu, pelakon Datuk Aaron Aziz berkata, penganjuran TKBM memberi peluang kepada pereka fesyen tempatan mempamerkan bakat, pakaian dan busana mereka kepada masyarakat.

“Acara seperti ini memberi peluang kepada pereka tempatan untuk mempamerkan bakat serta koleksi busana mereka. Pada masa sama, ia memberi ruang kepada model tempatan kerana kita sememangnya kekurangan platform untuk model dan pereka mengetengahkan bakat masing-masing.

“Saya fikir pemilihan Kelantan sebagai lokasi acara seperti ini adalah satu pilihan yang baik kerana masyarakat di negeri ini juga wajar diberi peluang untuk menikmati acara dan pertunjukan seperti ini

Bagi pelakon Ammar Alfian pula, penganjuran tersebut turut berpotensi memperkenalkan identiti dan bakat pereka fesyen Kelantan kepada masyarakat di seluruh negara.

“Macam saya lihat tadi, para model memperagakan pakaian rekaan pereka dari Kelantan. Jadi, apabila orang Kelantan melihat rekaan yang mempunyai identiti Kelantan, mereka dapat mengenali hasil karya pereka tempatan.

“Pada masa sama, kita mahu seluruh Malaysia mengenali Kelantan dan mengetahui bahawa negeri ini mempunyai ramai pereka yang berbakat,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.