Banjir Nepal: Lebih 93,000 penduduk terjejas akibat tragedi tanah runtuh – IFRC

Seorang kanak-kanak melihat gambar-gambar orang yang hilang akibat banjir kilat di sebuah hospital di Kathmandu / Foto AFP

GENEVA, 28 Ogos – Sekurang-kurangnya 93,000 penduduk di Nepal dianggarkan terjejas dan memerlukan bantuan kemanusiaan susulan kejadian banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda kawasan Himalaya, menurut Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC).

Ketua Delegasi IFRC di Nepal, David Fisher berkata, angka berkenaan masih merupakan anggaran awal, namun keadaan itu membimbangkan berikutan risiko banjir susulan.

“Angka yang kami gunakan masih merupakan anggaran, tetapi kami percaya sekurang-kurangnya 93,000 orang terjejas dan amat memerlukan bantuan. Sudah tentu kami amat bimbang mengenai banjir susulan,” katanya dalam taklimat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di sini, pada Jumaat.

Fisher berkata, sebuah tasik yang terbentuk akibat tanah runtuh telah melimpahi tebing, menyebabkan pihak berkuasa menyekat pergerakan lalu lintas dan menghalang lori bantuan IFRC daripada meneruskan perjalanan ke Nuwakot.

Dalam perkembangan sama, Jurucakap Dana Kanak-Kanak PBB (UNICEF) Ricardo Pires memaklumkan, sekurang-kurangnya 17,000 kanak-kanak kini memerlukan bantuan kemanusiaan segera akibat bencana berkenaan.

“Setakat ini, seramai 14 kanak-kanak disahkan meninggal dunia, manakala ramai lagi masih hilang.

Kami menjangkakan angka itu boleh meningkat apabila usaha mencari dan menyelamat diteruskan,” katanya.

Banjir kilat dan tanah runtuh berkenaan turut menjejaskan akses ke beberapa kawasan, selain mengganggu penghantaran bekalan bantuan dan operasi menyelamat.

Pihak berkuasa bersama agensi kemanusiaan kini terus memantau keadaan, khususnya risiko banjir susulan, sementara operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang diteruskan. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.