
JAKARTA, 28 Ogos – Beribu-ribu rakyat Indonesia turun ke jalanan mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan Parlimen di sini pada Khamis, mendesak kerajaan segera meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perampasan Aset yang tertangguh sejak sekian lama bagi membolehkan aset berkaitan rasuah dirampas.
- Penunjuk perasaan menuntut Parlimen meluluskan RUU Perampasan Aset untuk merampas aset berkaitan rasuah dan jenayah serius.
- Beberapa penunjuk perasaan bertindak ganas: membakar sepanduk, membaling batu dan memanjat pagar sebelum polis mengawal keadaan.
- Timbalan Speaker Sufmi Dasco Ahmad menandatangani komitmen selesaikan RUU selewat-lewatnya 15 Disember; pimpinan setuju letak jawatan jika gagal.
Penunjuk perasaan turut menuntut hukuman mati dikenakan terhadap individu yang disabitkan kesalahan rasuah.
Dalam demonstrasi itu, peserta membawa bendera Indonesia dan sepanduk dengan tuntutan antaranya supaya ahli Parlimen meluluskan RUU Perampasan Aset serta menentang ketidakadilan.
Keadaan bertukar tegang apabila sebahagian peserta berkumpul di pintu masuk Parlimen, membakar sepanduk dan plakad, selain membaling batu serta memanjat pagar.
Polis yang dilengkapi perisai rusuhan kemudian bertindak mengawal keadaan sebelum kumpulan penunjuk perasaan mula bersurai.
Menurut laporan media tempatan, Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Sufmi Dasco Ahmad, bertemu wakil Aliansi Masyarakat Peduli Bangsa (AMPB) dan menandatangani komitmen untuk menyelesaikan RUU Perampasan Aset selewat-lewatnya 15 Disember ini.
Pimpinan Parlimen turut dilaporkan bersetuju untuk meletakkan jawatan sebagai anggota legislatif sekiranya sasaran berkenaan gagal dicapai.
RUU berkenaan pertama kali dikemukakan kepada Parlimen pada Mei 2023, namun tidak sempat diluluskan apabila tempoh perkhidmatan anggota legislatif berakhir pada 2024.
Bagaimanapun, RUU itu kini kembali dalam agenda perundangan Indonesia, dengan penyokongnya berpendapat ia dapat memperkukuh kuasa pihak berkuasa untuk merampas aset yang mempunyai kaitan dengan rasuah dan jenayah serius lain.
Kerajaan Indonesia pula menyatakan undang-undang antirasuah dan jenayah sedia ada sudah membolehkan hukuman mati dikenakan dalam keadaan tertentu, namun keputusan mengenai hukuman itu tetap tertakluk kepada mahkamah.
Gerakan AMPB bermula di Pati, Jawa Tengah, susulan demonstrasi besar-besaran pada 2025 berhubung cadangan menaikkan cukai tanah dan bangunan sehingga 250 peratus. – VIORY