Persiapan Kem Brisbane diteruskan, Azizulhasni kekal dalam perancangan skuad trek negara

Harnizam Basri/ Foto BERNAMA

NILAI, 28 Ogos – Persiapan skuad berbasikal trek negara ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 tetap diteruskan seperti biasa meskipun status penyertaan jaguh negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang masih belum mendapat kepastian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Azizulhasni masih dalam perancangan untuk menyertai kem latihan di Brisbane; tiket sudah dikeluarkan, namun keputusan akhir belum pasti.
  • Pasukan tidak boleh menunggu lama; pelan alternatif disediakan agar persiapan Sukan Asia tidak terganggu, termasuk memberi peranan lebih besar.
  • Azizulhasni antara 10 pelumba disenaraikan dan pengalamannya penting untuk membimbing pelumba muda menghadapi temasya Sukan Asia.

Ketua Jurulatih Berbasikal Trek Kebangsaan, Harnizam Basri berkata Azizulhasni masih berada dalam perancangan pasukan untuk menyertai kem latihan di Brisbane, Australia bermula Isnin ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui keputusan akhir pelumba berusia 38 tahun itu masih belum diketahui, termasuk kemungkinan menarik diri pada saat akhir.

“Setakat ini dalam perancangan, beliau pergi sebab tiket semua sudah dikeluarkan. Cuma kita tidak tahu kalau beliau mahu menarik diri pada saat akhir atau sebaliknya,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan pasukan tidak boleh menunggu terlalu lama dan perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan menjelang Sukan Asia yang berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober.

Tambahnya, pelan alternatif sentiasa tersedia sekiranya Azizulhasni tidak dapat bersama pasukan termasuk memberi peranan lebih besar kepada pelumba lain.

“Pelan B memang sentiasa ada. Kita tengoklah dari semasa ke semasa. Kalau dia tidak dapat bersama pasukan, kita kena teruskan juga. Mungkin Shah (Muhammad Shah Firdaus Sahrom) kena memikul tanggungjawab lebih besar,” katanya.

Azizulhasni merupakan antara 10 pelumba yang disenaraikan dalam skuad negara ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Selain kehadirannya di trek, pengalaman Azizulhasni juga dianggap penting untuk membantu membimbing pelumba muda negara dalam menghadapi temasya berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.