Juwaidi buru pingat individu sulung Sukan Asia di Aichi-Nagoya

Pemanah compound negara, Mohd Juwaidi Mazuki / Foto BERNAMA

NILAI, 28 Ogos – Selepas tiga penampilan tanpa pingat individu di Sukan Asia, pemanah compound negara, Mohd Juwaidi Mazuki menyasarkan untuk menamatkan penantian itu pada edisi Aichi-Nagoya 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasaran pingat individu tahun ini; keinginan acara berpasukan untuk kekal atau tingkatkan pencapaian dengan beberapa muka baharu.
  • Persiapan tumpu pada teknik dan peralatan bagi memastikan tahap terbaik sebelum kem latihan di Korea, untuk kekalkan konsistensi.
  • Bergandingan dengan Alang Ariff dan Muhammad Aiman dalam compound lelaki; bersama Fatin dalam campuran, memberi peluang tiket Olimpik Los Angeles 2028.
  • Fatin kini berprestasi memberangsangkan selepas perak Piala Dunia Madrid; persaingan ke Olimpik dijangka sengit menentang India dan Korea.

Atlet berusia 36 tahun itu akan membuat penampilan keempat di temasya berkenaan selepas melakukan debut pada Sukan Asia Incheon 2014, sebelum beraksi pada edisi Jakarta-Palembang 2018 dan Hangzhou 2022.

Menurut Mohd Juwaidi, pingat individu menjadi sasaran utamanya pada edisi kali ini, manakala bagi acara berpasukan, beliau berharap skuad negara dapat mengekalkan pencapaian atau meraih keputusan lebih baik.

“Saya belum pernah sentuh pingat individu, jadi saya sasarkan dekat situ. Untuk acara berpasukan pula, kita mahu kekalkan pencapaian atau buat lebih baik sebab kali ini barisan kita ada beberapa muka baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi lawatan Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke venue latihan skuad memanah di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, hari ini.

Mohd Juwaidi yang pernah membantu negara meraih pingat gangsa dalam acara compound lelaki berpasukan pada Sukan Asia 2018 berkata, persiapan ketika ini lebih tertumpu kepada memastikan aspek teknik dan peralatan berada pada tahap terbaik.

Katanya, persediaan awal itu penting bagi mengurangkan perubahan terhadap teknik ketika kem latihan di Korea Selatan yang dijadual bermula 5 September ini, sekali gus membolehkan skuad negara memberi tumpuan kepada aspek konsistensi.

“Sekarang ini memang tengah cuba siapkan apa yang mampu sebelum kami ke kem latihan supaya dekat sana kita kurang kerja untuk baiki shooting form, lebih banyak kepada mengekalkan aspek teknikal sebab teknikal itu yang paling berpengaruh,” jelasnya.

Di Aichi-Nagoya yang dijadual berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober ini, Mohd Juwaidi akan bergandingan dengan Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli dan Muhammad Aiman Syafiq Mohd Tariki dalam acara compound lelaki berpasukan.

Beliau turut akan bergandingan dengan Fatin Nurfatehah Mat Salleh dalam acara compound campuran, yang menawarkan peluang untuk merebut slot ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Fatin ketika ini berada dalam prestasi memberangsangkan selepas meraih pingat perak acara compound wanita pada Piala Dunia Memanah Hyundai Madrid 2026 pada Julai lalu.

Bagaimanapun, laluan ke pentas Olimpik dijangka sengit apabila Malaysia perlu berdepan kuasa besar memanah seperti India dan Korea Selatan, dengan hanya pemenang pingat emas memperoleh tiket ke temasya itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.