Sukan Asia : Tiga minggu terakhir fasa penentuan atlet negara

DCDM Malaysia ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Mohamad Azlan Iskandar dan Timbalan Ketua Kontinjen, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi / Foto RTM

NILAI, 28 Ogos – Tiga minggu terakhir sebelum Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menjadi fasa penentuan buat atlet negara untuk memastikan mereka berada pada tahap terbaik ketika temasya bermula.

RINGKASAN BERITA AI
  • Atlet mesti kurangkan gangguan, fokus pada persiapan akhir serta memastikan kesihatan dan kecergasan berada pada tahap terbaik.
  • Atlet yang baru dari Sukan Komanwel perlu capai dua kemuncak prestasi dalam masa singkat, menuntut kekuatan mental dan pengorbanan.
  • Timbalan ketua kontinjen dan pegawai akan beri sokongan tanpa mengganggu rutin latihan, menekankan atlet sebagai pemikul tanggungjawab negara.

Timbalan Ketua Kontinjen (DCDM) Malaysia ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Mohamad Azlan Iskandar berkata, atlet perlu mengurangkan sebarang gangguan dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persiapan akhir, khususnya dari aspek kesihatan dan kecergasan.

Menurut bekas atlet skuasy negara itu, tempoh terakhir sebelum pertandingan amat penting bagi memastikan atlet mencapai prestasi terbaik ketika tiba di medan pertandingan.

“Tiga minggu terakhir ini adalah fasa penentuan. Kita perlu kurangkan segala gangguan kerana semua persiapan utama sudah dilakukan. Sekarang hanya perlu memperkemas latihan, memastikan kesihatan berada pada tahap terbaik serta mengelakkan daripada jatuh sakit, mengalami kecederaan atau sebarang masalah lain,” katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, hari ini.

Mohamad Azlan berkata, cabaran lebih besar turut dihadapi atlet yang baru sahaja mengharungi Sukan Komanwel Glasgow 2026 sebelum perlu kembali mencapai kemuncak prestasi di Aichi-Nagoya.

Katanya, situasi itu memerlukan atlet mencapai dua kemuncak prestasi dalam tempoh yang singkat, yang bukan sahaja mencabar dari segi fizikal, malah menuntut kekuatan mental serta pengorbanan lebih besar.

“Orang ramai mungkin tidak memahami tahap kesukaran yang perlu dilalui atlet untuk mencapai dua kemuncak prestasi dalam tempoh yang singkat. Ia memerlukan fokus yang tinggi dan pengorbanan besar.

“Ada yang mempunyai keluarga dan rakan-rakan, tetapi mereka terpaksa mengetepikan semua itu untuk beberapa minggu akan datang. Itulah lumrah dalam dunia sukan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamad Azlan berkata, beliau bersama seorang lagi Timbalan Ketua Kontinjen, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, akan terus memberikan sokongan kepada atlet dan barisan kejurulatihan tanpa mengganggu rutin latihan mereka.

Katanya, atlet merupakan watak utama kontinjen yang akan memikul tanggungjawab untuk mengharumkan nama negara dan menghasilkan keputusan terbaik di Sukan Asia.

Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dijadual berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.