
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Kejohanan Badminton Masters China yang dijadualkan berlangsung minggu depan bakal menjadi medan kritikal buat gandingan baharu beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Cheng Su Yin.
- Kejohanan itu satu-satunya platform kompetitif untuk membina keserasian sebelum Sukan Asia di Aichi-Nagoya.
- Rexy akui tempoh persiapan terhad, namun mahu pasangan memanfaatkan peluang tersebut sepenuhnya.
- Beregu lelaki Aaron Chia-Tee Kai Wun kekal sandaran utama untuk Sukan Asia, persiapan mereka berjalan lancar.
Kejohanan tersebut merupakan satu-satunya platform kompetitif untuk pasangan itu membina keserasian sebelum menggalas cabaran negara pada temasya Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun, bulan depan.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengakui tempoh persiapan buat gandingan tersebut agak terhad, namun beliau mahu mereka memanfaatkan peluang berkenaan sepenuhnya.
“Sebenarnya agak merugikan apabila gandingan ini hanya dicuba dalam satu kejohanan, sepatutnya mereka diuji semasa Terbuka Jepun atau kejohanan lain. Namun, ia bagi menghormati kedudukan Jimmy Wong yang ketika itu masih dalam proses memburu mata ranking bersama Su Yin,” katanya.
“Jadi, Masters China adalah peluang terbaik untuk kita melihat sejauh mana gandingan Su Yin dan Tang Jie mampu pergi,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Bukit Kiara, hari ini.
Dalam pada itu, Rexy turut mengesahkan tiada perubahan dilakukan bagi beregu lelaki negara untuk temasya Sukan Asia akan datang.
Gandingan Aaron Chia-Tee Kai Wun sah kekal sebagai sandaran utama negara dalam acara berkenaan.
“Untuk Sukan Asia, kita sudah sahkan gandingan yang tidak boleh diubah lagi iaitu Aaron bersama Kai Wun setakat ini, persiapan mereka berjalan lancar.Kita berharap dengan baki masa yang ada selepas Masters China nanti, kita masih mempunyai waktu untuk mempersiapkan mereka dengan lebih rapi,” tambahnya lagi.