Nelayan hilang selepas bot karam dipukul ombak

Foto RTM

DUNGUN, 28 Ogos – Seorang nelayan dipercayai lemas selepas bot gentian kaca yang dinaikinya karam selepas dipukul ombak di perairan Pulau Tenggol di Dungun, Terengganu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejadian pada kedudukan 62 batu nautika timur laut dari perairan Kuala Dungun.
  • Mangsa, Sabrie Rusli, 32, keluar bersendirian untuk menangkap ikan pada pagi semalam.
  • Mangsa sempat menelefon keluarga kira-kira pukul 5.00 petang tetapi talian terputus selepas itu.
  • Operasi SAR digerakkan pukul 8.00 pagi, melibatkan 68 anggota, pelbagai agensi, kawasan 20 km persegi; mangsa belum ditemukan.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.00 petang semalam pada kedudukan 62 batu nautika timur laut dari perairan Kuala Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata mangsa, Sabrie Rusli, 32 tahun dikatakan keluar berseorangan untuk menangkap ikan di perairan berkenaan pagi semalam.

Beliau berkata ketika dalam perjalanan pulang, bot gentian kaca dinaiki mangsa dipercayai telah dipukul ombak besar menyebabkan bot berkenaan terbalik dan tenggelam.

“Selepas pencarian dibuat dalam 30 minit, keadaan ombak berubah menjadi lebih tinggi dan berbahaya. Kita terpaksa berpatah balik untuk menyelamatkan anggota saya dengan aset-aset yang kita bawa,” katanya kepada RTM.

Superintenden Nik Ab Halim berkata, mangsa sempat menghubungi keluarganya menggunakan telefon bimbit untuk memaklumkan mengenai kejadian itu namun selepas itu beliau gagal dihubungi.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan sepenuhnya pada pukul 8.00 pagi tadi meliputi jarak pencarian seluas 20 kilometer persegi dari perairan Kuala Dungun.

Menurut beliau, operasi SAR membabitkan kekuatan seramai 68 orang anggota dari pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan bantuan komuniti nelayan.

Pencarian turut dibantu pesawat milik Maritim Malaysia yang melakukan pencarian di udara di sekitar perairan Kuala Dungun.

Sehingga pukul 1.00 tengah hari tadi, mangsa masih belum ditemukan.

Sementara itu, isteri mangsa, Amira Syahira Mat Hassan, 30, berkata suaminya keluar menangkap ikan kira-kira pukul 9.00 pagi semalam dan kebiasaannya akan pulang pada sebelah petang.

Namun, beliau tidak menyangka panggilan telefon daripada suaminya yang meminta bantuan kira-kira pukul 5.00 petang semalam merupakan perbualan terakhir mereka.

Menurut Amira Syahira, dalam perbualan yang berlangsung hampir seminit itu, suaminya meminta beliau menghubungi abangnya untuk memaklumkan bahawa bot yang dinaikinya terbalik dan memerlukan bantuan segera.

Bagaimanapun, perbualan mereka terhenti secara tiba-tiba apabila suara suaminya semakin lama semakin tidak jelas sebelum talian terputus.

Amira Syahira yang bakal menimang cahaya mata keempat mereka bulan depan, cuba menghubungi suaminya beberapa kali selepas itu, namun gagal sebelum menghubungi warisnya yang lain untuk meminta bantuan.

“Saya minta tolong sepupu. Lepas itu, sepupu minta tolong orang kampung untuk mencari. Terkejutlah sebab suami memang hari-hari ke laut, memang kerja ke laut. Lepas itu, malam itu jadi begitu,” katanya.

Amira Syahira berkata, dua hari lalu, suaminya menyatakan hasrat untuk menukar nama rumah yang mereka tinggal kepada nama anak ketiga mereka yang berusia enam tahun.

Menurut Amira Syahira, pada mulanya beliau menyangkakan suaminya hanya bergurau kerana anak mereka masih kecil dan belum mencapai usia 18 tahun, namun suaminya ternyata serius dengan perkara itu.

Amira Syahira berharap suaminya dapat ditemukan oleh pasukan SAR dalam keadaan selamat serta dapat segera kembali ke pangkuan keluarga.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.