
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures Sdn. Bhd (MyCreative) akan memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2026 dengan penganjuran RIUH Merdeka yang menghimpunkan elemen seni, kreativiti, budaya dan hiburan dalam satu acara di Putrajaya.
- Memberi platform kepada penggiat seni, penghibur dan usahawan tempatan untuk mempamerkan bakat serta memperluas jaringan.
- Menjangka lebih 20,000 pengunjung dengan penyertaan sekitar 30 vendor makanan dan minuman.
- Pelbagai aktiviti kreatif seperti bengkel, permainan tradisional, aktiviti kanak-kanak, tayangan filem FINAS, instalasi seni dan 'Melukis Senja'.
- Persembahan artis terkenal; kemuncak Ambang Merdeka dengan Kira Detik dan pertunjukan bunga api.
Menerusi satu kenyataan, MyCreative memaklumkan program RIUH Merdeka akan meraikan semangat patriotik serta menghimpunkan masyarakat untuk menghayati kreativiti, budaya dan semangat kebersamaan.
“Acara ini turut menyediakan platform kepada penggiat seni, penghibur dan usahawan tempatan untuk mengetengahkan bakat dan hasil karya di samping memperluas jaringan hubungan antara penggiat seni dengan usahawan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan sama turut memaklumkan, penganjuran kali ini bakal menarik lebih 20,000 pengunjung menerusi penyertaan 30 vendor makanan dan minuman yang menawarkan pelbagai sajian tempatan.
Selain itu, RIUH Merdeka turut menyediakan pelbagai aktiviti kreatif termasuk bengkel, permainan tradisional dan aktiviti kanak-kanak.
“Pelbagai aktiviti menarik disediakan termasuk bengkel kreatif, aktiviti kanak-kanak, permainan tradisional, tayangan filem khas oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), aktivasi kreatif, pertunjukan kapal terbang “Melukis Senja” oleh AeroTree serta instalasi seni “Serumpun Jiwa” karya Faizal Suhif yang mengangkat tema perpaduan dan identiti Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan nyanyian Ernie Zakri, Anuar Zain, Hafiz Suip, Noraniza Idris, Ruffedge, Arunboii, Naungan dan Groove Society X Dhol Riderz.
Kemuncak acara pada malam Ambang Merdeka akan diserikan dengan Kira Detik Merdeka dan pertunjukan bunga api, sekali gus menjadi antara acara utama yang dijangka menarik perhatian pengunjung.
RIUH Merdeka turut menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi termasuk FINAS dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai pempamer.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan RIUH Merdeka dan menikmati pelbagai aktiviti serta pengalaman yang disediakan kerana masuk adalah percuma.
RIUH Merdeka akan berlangsung di Tapak Parkir Monumen Alaf Baru, Presint 2, Putrajaya bermula 2.00 petang hingga 4.00 pagi pada 30 Ogos 2026 dan 8.00 pagi hingga 2.00 petang pada 31 Ogos 2026.
Sebarang maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi platform Facebook, Instagram dan TikTok @riuhinthecity serta @mycreativeventures.