Projek baik pulih jalan, infrastruktur di Sepang kini 84.5% siap

Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Ibrahim Esa – Foto RTM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Kerja-kerja baik pulih jalan dan penyelenggaraan infrastruktur di daerah Sepang dipergiat menjelang penganjuran Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober depan

RINGKASAN BERITA AI
  • JKR menerima peruntukan RM16 juta untuk 26 kerja; kemajuan keseluruhan projek dicatat 84.5 peratus.
  • RM13.67 juta diperuntukkan untuk 10 kerja pavemen termasuk mill and pave serta regulate and overlay; laluan FT344, FT27, FT26, FT29 97% siap.
  • Kerja bukan pavemen RM1.3 juta (gantian crash cushion, guardrail, pintu median, mengecat garisan) 93.4% siap; kerja elektrik RM1.03 juta.

Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Ibrahim Esa berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memastikan laluan utama yang menjadi akses ke kawasan penganjuran berada dalam keadaan baik sebelum perlumbaan berlangsung.

“JKR menerima peruntukan sebanyak RM16 juta bagi melaksanakan 26 kerja. Setakat ini, kemajuan keseluruhan telah mencapai 84.5 peratus.

“Kerja-kerja ini meliputi penyelenggaraan berkala pavement (turapan), penyelenggaraan bukan pavement serta kerja elektrik dan lampu jalan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna berada pada tahap terbaik,” katanya ketika ditemui RTM.

Menurut beliau, sebanyak 10 kerja berkaitan penyelenggaraan berkala pavemen dilaksanakan dengan peruntukan RM13.67 juta, melibatkan kerja menurap semula jalan, mill and pave (kisar dan turap) serta regulate and overlay (merata dan lapisan tambahan).

Kerja terbabit melibatkan laluan FT344, FT27, FT26 dan FT29 yang menjadi antara akses utama ke kawasan penganjuran F1, dengan kemajuan fizikal kini mencapai 97 peratus.

Bagi kerja bukan pavemen, peruntukan RM1.3 juta digunakan untuk penggantian crash cushion (bantal peredam impak) dan guardrail (pagar keselamatan), pemasangan median opening gate ( pintu pagar bukaan median) serta mengecat semula garisan jalan yang telah pudar.

Kemajuan fizikal kerja berkenaan kini mencapai 93.4 peratus.

Datuk Ir. Ibrahim berkata, sebanyak RM1.03 juta turut diperuntukkan bagi kerja elektrik dan lampu jalan, termasuk membaiki lampu di laluan terlibat bagi memastikan pencahayaan berada pada tahap baik, terutama pada waktu malam.

“Walaupun acara F1 berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober, kita menyasarkan semua kerja penyelenggaraan jalan ini siap lebih awal, iaitu sebelum 15 September.

“Kerja dilaksanakan secara berterusan termasuk pada waktu malam dan setakat ini tiada isu atau kekangan yang menghalang pelaksanaannya,” jelasnya.

JKR menyasarkan kesemua 26 kerja berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual bagi memastikan laluan di sekitar Sepang berada dalam keadaan baik dan selamat menjelang penganjuran F1.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.