
LA PAZ, 28 Ogos – Anggota polis Bolivia bertempur dengan kumpulan petani yang menolak pelaksanaan perintah darurat setelah bertindak menyekat laluan utama di kawasan Amazon bagi memprotes kenaikan mendadak harga diesel.
- Kekecohan berlaku di sebuah jambatan di wilayah timur laut Beni, menghubungkan Trinidad dengan pusat ekonomi Santa Cruz.
- Puluhan anggota polis dengan sokongan tentera menggunakan gas pemedih mata untuk meleraikan sekatan dan membuka semula laluan.
- Kerajaan menaikkan harga diesel dari 9.80 ke 18 bolivianos untuk membendung penyeludupan bahan api, mencetuskan bantahan.
Kenyataan pihak tentera pada Khamis menyatakan, insiden kekecohan itu berlaku di sebuah jambatan di wilayah timur laut Beni, yang menghubungkan ibu negara wilayah berkenaan, Trinidad dengan pusat ekonomi Bolivia, Santa Cruz.
Jurucakap tentera wilayah, Luis Ortiz berkata puluhan anggota polis dengan bantuan tentera terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi meleraikan sekatan, sekali gus membuka semula laluan kepada kenderaan yang terkandas.
Tunjuk perasaan tersebut merupakan yang pertama berlaku sejak Presiden Rodrigo Paz mengisytiharkan keadaan darurat sejak dua bulan lalu ekoran gelombang protes antikerajaan yang berlarutan selama berminggu-minggu.
Pentadbiran Presiden Paz menaikkan harga bahan api tersebut daripada 9.80 bolivianos (kira-kira 80 sen AS) seliter kepada 18 bolivianos (AS$1.50) sebagai langkah mengekang aktiviti penyeludupan bahan api ke negara jiran yang memburukkan lagi krisis kekurangan bekalan tempatan.- AFP