
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Pelaksanaan Modul Integriti Kanak-Kanak (MIKa) disasarkan diperluaskan ke seluruh ekosistem pendidikan awal kanak-kanak, melibatkan lebih 31,000 taska, tadika dan prasekolah di seluruh negara menjelang 2030.
- MIKa menekankan pembentukan nilai integriti sejak kecil untuk melahirkan generasi jujur, amanah dan bertanggungjawab.
- Modul memfokuskan kanak-kanak berumur dua hingga enam tahun dengan pendekatan disesuaikan mengikut dunia dan tahap pemahaman mereka.
- Ibu bapa digalakkan menjadi teladan utama dalam pembentukan sahsiah dan nilai anak sejak usia awal.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata sasaran itu penting bagi memastikan pendidikan dan pembentukan nilai integriti dapat diterapkan secara menyeluruh sejak usia awal.
Beliau berkata pembentukan nilai integriti perlu dimulakan sejak kecil bagi melahirkan generasi yang jujur, amanah dan bertanggungjawab.
“Integriti tidak lahir daripada undang-undang dan peraturan semata-mata. Integriti perlu dibentuk sejak kecil sehingga perkara yang benar menjadi kebiasaan, amanah menjadi pegangan dan melakukan kebaikan menjadi amalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Sembah Ucapan Menjunjung Kasih pada Majlis Pelancaran MIKa di Tabika Perpaduan Taman Bukit Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.
Pada majlis itu, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menyempurnakan pelancaran MIKa, selain mencemar duli menyempurnakan gimik pelancaran sebelum melawat ruang kelas bagi menyaksikan Simulasi Pembelajaran MIKa serta beramah mesra dengan murid-murid.
Tan Sri Shamsul Azri berkata modul berkenaan memberi fokus kepada kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun dengan pendekatan yang disesuaikan mengikut dunia serta tahap pemahaman mereka.
Menurutnya, MIKa dibangunkan sejak 2024 dengan penglibatan 35 pakar pendidikan awal kanak-kanak serta mendapat sokongan pelbagai kementerian, agensi, institusi pendidikan tinggi dan pertubuhan berkaitan pendidikan awal kanak-kanak.
Beliau turut menyifatkan kanak-kanak sebagai generasi yang bakal mencorakkan masa depan negara, justeru nilai kejujuran, amanah dan rasa hormat perlu dipupuk sejak usia awal.
Pada masa sama, beliau menekankan peranan ibu bapa sebagai teladan utama dalam pembentukan sahsiah dan nilai anak-anak, selaras dengan prinsip mendidik mereka sejak usia awal.
Dalam sembah ucapan penutup, Tan Sri Shamsul Azri turut menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan Raja Permaisuri Agong menyempurnakan pelancaran MIKa.
Turut hadir Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.