
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia menyumbang kepakaran dan keupayaan sekiranya diperlukan bagi membantu rakyat Malaysia yang tidak dapat dihubungi susulan banjir besar di Nepal.
- Keputusan tindakan lanjut akan diputuskan selepas pengesahan Kementerian Luar mengenai rakyat Malaysia yang terjejas atau masih belum dihubungi.
- Tindakan melibatkan sumber pertahanan akan dibuat jika kerajaan memutuskan dan selepas pengesahan situasi rakyat terjejas.
- Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 dirasmikan di Kuala Lumpur bertemakan Malaysia MADANI.
- Acara diserikan formasi perarakan 500 peserta dari 12 kontinjen mewakili pelbagai sektor termasuk ketiga cabang Perkhidmatan ATM.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebarang keputusan berkaitan tindakan selanjutnya akan diputuskan selepas pengesahan daripada Kementerian Luar mengenai situasi rakyat Malaysia yang terjejas atau masih belum dapat dihubungi.
“Kita bersedia, seperti kita sedia maklum, antara perkara yang boleh disumbangkan oleh pihak ATM adalah dalam soal misi-misi kemanusiaan.
”Jika ada keputusan daripada pihak kerajaan dan jika ia melibatkan ATM, kita bersedia untuk menyumbang kepakaran dan juga keupayaan kita”, katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2026 Peringkat Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur.
Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’, acara tersebut diserikan dengan formasi perarakan melibatkan 500 orang peserta.
Mereka terdiri daripada 12 kontinjen yang mewakili pelbagai sektor, jabatan, dan agensi di bawah kementerian, termasuk ketiga-tiga cabang Perkhidmatan ATM.
Datuk Seri Mohamed Khaled telah menyempurnakan penyerahan bendera kebangsaan kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman sebagai wakil warga ATM, dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali mewakili warga awam Kementerian Pertahanan.