
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Kawalan dan pemantauan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand akan diperketatkan bagi memastikan sebarang pergerakan yang berpotensi menjejaskan keselamatan negara susulan perkembangan konflik di selatan Thailand tidak merebak ke wilayah Malaysia.
- Malaysia memastikan wilayahnya tidak menjadi tempat perlindungan pihak menggunakan kekerasan atau menolak proses perdamaian di selatan Thailand.
- Kerajaan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa Thailand untuk mengelakkan sebarang tindakan yang menyokong kumpulan bersenjata.
- Beberapa calon dikemukakan bagi pelantikan fasilitator baharu proses perdamaian; keputusan kini menunggu persetujuan Perdana Menteri.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu turut bagi memastikan wilayah Malaysia tidak dijadikan tempat perlindungan atau persembunyian mana-mana pihak yang menggunakan kekerasan serta menolak proses perdamaian di selatan Thailand.
Menurutnya, Malaysia akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa Thailand bagi memastikan perkara berkenaan tidak berlaku.
“Negara memberi perhatian yang sangat serius terhadap perkembangan dan insiden yang berlaku di selatan Thailand. Kita sedar bahawa dalam soal selatan Thailand ini, Malaysia mendukung usaha-usaha membawa perdamaian.
“Kita tidak mahu dengan insiden-insiden yang berlaku itu, apa-apa pergerakan yang boleh menjejaskan kedudukan negara kita. Kita tidak mahu insiden seperti itu merebak dan tidak dapat dikawal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2026 Peringkat Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, beberapa nama calon telah dikemukakan untuk dipertimbang bagi pelantikan fasilitator baharu dalam membantu proses perdamaian di selatan Thailand, susulan tamatnya tempoh perkhidmatan fasilitator terdahulu, Datuk Rabin Basir.
Menurutnya, pihak kementerian kini menunggu keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung pemilihan itu.