Banjir di Nepal: PM dukacita 54 rakyat Malaysia belum dapat dihubungi

Foto AFP

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita susulan bencana banjir kilat di daerah Rasuwa, Nepal yang mengakibatkan kemusnahan besar, dengan 54 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Luar memaklumkan Perdana Menteri; beliau mendoakan agar semua terlibat ditemui dalam keadaan selamat.
  • Kedutaan Malaysia di Kathmandu bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Nepal dan agensi berkaitan bagi mengesan rakyat Malaysia.
  • Pegawai Suruhanjaya Tinggi di Dhaka digerakkan; Kerajaan MADANI melalui Kementerian Luar terus memantau dan mengutamakan kebajikan.

Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri menyatakan bahwa beliau amat terkesan selepas dimaklumkan Kementerian Luar mengenai perkembangan itu, selain mendoakan kesemua rakyat Malaysia terbabit dapat ditemukan dalam keadaan selamat.

“Saya juga amat terkesan apabila dimaklumkan oleh Kementerian Luar bahawa 54 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi setakat ini dan usaha mengesan serta mendapatkan perkembangan mengenai keadaan mereka sedang giat dilakukan,” katanya.

Menurut Datuk Seri Anwar, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Nepal serta agensi berkaitan bagi mengesan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.

Beliau berkata, pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh turut digerakkan bagi membantu memperkukuh penyelarasan usaha di lapangan.

“Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Luar akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti serta menggembleng segala ikhtiar bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia yang terjejas terus diberi keutamaan,” katanya.

Perdana Menteri turut menyeru rakyat Malaysia supaya bersama-sama mendoakan agar kesemua mereka segera ditemui dalam keadaan selamat dan segala usaha mencari serta menyelamat dipermudahkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.