
JANNATAH, 26 Ogos – Peneroka haram Israel di Tebing Barat menyerang wartawan Agence France-Presse (AFP) yang membuat liputan mengenai ketegangan dengan penduduk Palestin pada Selasa, dalam kejadian yang menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang cedera, menurut wartawan terbabit dan petugas perubatan.
- Wartawan AFP pergi ke kampung Jannatah untuk meliput aktivis Israel yang buat lawatan solidariti dengan penduduk Palestin.
- Ketegangan tercetus selepas pertengkaran antara peneroka dan aktivis; tentera Israel arahkan wartawan tinggalkan kawasan zon tentera tertutup.
- Peneroka, termasuk kanak-kanak, membaling batu; seorang kanak-kanak memukul dagu wartawan dengan kayu hingga luka dan berdarah.
- Kenderaan wartawan dan aktivis rosak; seorang askar rampas kamera wartawan sebelum memulangkannya; Bulan Sabit Merah merawat beberapa cedera.
Pasukan tiga wartawan agensi berita antarabangsa itu ke kampung Jannatah berhampiran Baitul Laham untuk melaporkan mengenai aktivis Israel yang melakukan lawatan solidariti bagi menyokong penduduk Palestin yang berdepan gangguan daripada peneroka haram Israel.
Ketegangan tercetus selepas berlaku pertengkaran antara peneroka dan aktivis berkenaan, sebelum tentera Israel mengarahkan wartawan meninggalkan kawasan yang disifatkan sebagai “zon tentera tertutup”.
Pada ketika itu, dua lagi kenderaan yang membawa peneroka tiba di lokasi.
Peneroka, termasuk kanak-kanak, kemudian membaling batu ke arah wartawan dan aktivis.
Seorang wartawan AFP berkata dia sempat mengelak seketul batu, namun seorang kanak-kanak daripada kumpulan peneroka tersebut kemudian memukul dagunya menggunakan kayu sehingga menyebabkan kecederaan ringan dan pendarahan.
Wartawan AFP itu kembali ke kenderaan mereka dan mendapati kedua-dua kereta yang diletakkan di lokasi mengalami kerosakan, termasuk cermin belakang dipecahkan dan tayar ditusuk.
Kenderaan milik aktivis turut mengalami kerosakan serupa.
Pada masa sama, berlaku pergelutan, sebelum seorang askar Israel merampas kamera milik wartawan video, namun memulangkannya kemudian, menurut wartawan AFP.
Sementara itu, menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, lima individu menerima rawatan akibat kecederaan, manakala wartawan AFP melaporkan melihat sekurang-kurangnya seorang aktivis Israel dibawa menggunakan ambulans Palestin.
Lebih 500,000 rakyat Israel kini tinggal di Tebing Barat, yang diduduki Israel sejak 1967 dan menjadi kediaman kira-kira tiga juta penduduk Palestin.
Kini, kerajaan sayap kanan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu meningkatkan pembinaan penempatan baharu menjelang pilihan raya pada 27 Oktober.
Keganasan peneroka haram Israel terhadap penduduk Palestin meningkat dengan ketara sejak 7 Oktober 2023. – AFP