Brazil denda TikTok AS$30 juta berkaitan keselamatan kanak-kanak

ANPD mendakwa Tiktok gagal melaksanakan langkah mencukupi bagi melindungi kanak-kanak dan remaja di platform berkenaan/ AFP

RIO DE JANEIRO, 26 Ogos – Agensi perlindungan data Brazil mengenakan denda hampir AS$30 juta terhadap TikTok kerana gagal melaksanakan langkah mencukupi bagi melindungi kanak-kanak dan remaja di platform berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • TikTok gagal menghalang remaja mengakses platform dan melindungi data kanak-kanak, data itu digunakan untuk menawarkan iklan kepada remaja.
  • ANPD mengarahkan ByteDance memadam data dikumpul tanpa kebenaran dan melaksanakan pelan pematuhan dengan tetapan privasi lebih ketat.
  • ANPD memperketat penguatkuasaan, menilai pematuhan 22 platform, dan mengambil tindakan termasuk menggantung fungsi siaran langsung Discord.

Pengarah penguatkuasaan Agensi Perlindungan Data Nasional (ANPD), Fabricio Lopes, berkata TikTok gagal mengambil langkah diperlukan untuk menghalang remaja daripada mengakses platform itu serta memastikan data kanak-kanak dan remaja tidak diproses tanpa perlindungan sewajarnya.

“Data ini digunakan untuk menawarkan iklan kepada remaja,” katanya pada sidang media.

Lopes berkata denda itu menjadi “isyarat kuat” kepada platform media sosial lain mengenai keseriusan ANPD dalam menguatkuasakan perlindungan data kanak-kanak dan remaja.

Brazil sejak kebelakangan ini memperketat kawal selia platform media sosial, termasuk mewajibkan akaun pengguna bawah 16 tahun dipautkan kepada akaun ibu bapa.

Selain denda, ANPD mengarahkan syarikat induk TikTok, ByteDance, memadam data yang dikumpulkan tanpa kebenaran sekali gus melanggar undang-undang.

Agensi itu turut mengarahkan TikTok melaksanakan pelan pematuhan bagi meningkatkan perlindungan kanak-kanak dan remaja, termasuk menetapkan tetapan privasi lebih ketat secara automatik untuk akaun pengguna bawah 16 tahun, memperkukuh sistem pemantauan ibu bapa serta memperketat tapisan kandungan.

Pengarah ANPD, Lorena Giuberti Coutinho, berkata agensi itu minggu lalu memulakan prosiding untuk menilai pematuhan 22 rangkaian dan platform media sosial terhadap undang-undang baharu yang diluluskan tahun ini bagi melindungi kanak-kanak dan remaja dalam talian.

“Saya fikir kita boleh menjangkakan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.

TikTok dalam kenyataan kepada AFP berkata denda itu berpunca daripada kebimbangan yang dibangkitkan pada 2021 dan “tidak mengambil kira” langkah keselamatan yang dilaksanakan sejak itu.

Menurut syarikat itu, lebih 50 ciri keselamatan untuk remaja telah diperkenalkan dalam tempoh enam tahun lalu, termasuk mengehadkan fungsi mesej terus bagi kanak-kanak bawah 16 tahun, tidak mengesyorkan kandungan kumpulan umur itu kepada orang tidak dikenali serta membolehkan ibu bapa menetapkan had masa penggunaan skrin dan menyekat akaun.

TikTok mempunyai tempoh 10 hari untuk mengemukakan rayuan terhadap denda berkenaan.

Minggu lalu, TikTok turut bersetuju membayar AS$400 juta bagi menyelesaikan tuntutan mahkamah oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat berhubung dakwaan pengumpulan data peribadi kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa.

Dalam perkembangan berkaitan, ANPD bulan ini mengarahkan platform penstriman Discord menggantung fungsi siaran langsung dan panggilan video selepas seorang remaja perempuan didakwa digalakkan membunuh diri ketika satu siaran.

ANPD memaklumkan rayuan Discord terhadap arahan penggantungan itu, yang difailkan pada Isnin, sedang diteliti.

Pada 2024, platform X turut disekat di Brazil selama 40 hari sehingga rangkaian sosial milik Elon Musk mematuhi arahan Mahkamah Agung untuk menghapuskan akaun yang menyebarkan maklumat palsu. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.