
AMSTERDAM, 26 Ogos – Ketua jurulatih baharu Belanda, Xavi Hernandez mahu membentuk pasukan yang berani, bertenaga dan mengutamakan kemenangan sepanjang menerajui skuad kebangsaan itu.
- Kemenangan jadi sasaran utama selepas tersingkir pada pusingan 32 Piala Dunia.
- Pelantikan Xavi menjadikannya jurulatih asing pertama Belanda dalam hampir 50 tahun.
- Dipengaruhi pendekatan total football, beliau mahu kembalikan prinsip permainan Belanda yang dipelajari.
Bekas pemain tengah dan jurulatih Barcelona itu berkata, selain menampilkan corak permainan menarik, beliau mahu anak buahnya menguasai permainan, mengambil inisiatif serta bermain dengan penuh semangat dan keazaman.
“Kami mempunyai ramai pemain berbakat, namun perkara paling penting bagi saya ialah membentuk sebuah pasukan dan satu kumpulan yang berani dari segi permainan, menguasai perlawanan serta mengambil inisiatif ketika bermain.
“Pada masa sama, matlamat kami adalah untuk menunjukkan kepada semua orang sebuah pasukan yang mempunyai semangat, keinginan dan cita-cita.
“Ini sangat penting bagi saya sebagai jurulatih,” katanya pada sidang media pada Selasa.
Xavi yang menandatangani kontrak sehingga Piala Dunia akan datang menegaskan bahawa kemenangan menjadi sasaran utama pasukan itu selepas Belanda tersingkir pada pusingan 32 terbaik dalam kejohanan Piala dunia tahun ini.
“Kami di sini untuk bersaing, menikmati permainan dan menang. Saya tegaskan, kami di sini untuk menang.
“Saya sangat percaya kepada projek ini dan para pemain.
“Saya amat teruja untuk memulakannya,” katanya.
Pelantikan Xavi menjadikannya sebagai jurulatih asing pertama yang mengendalikan skuad Belanda dalam tempoh hampir 50 tahun, selepas Ernst Happel membimbing pasukan itu pada Piala Dunia 1978.
Namun, Xavi mengakui beliau banyak dipengaruhi pendekatan ‘total football’ Belanda yang diperkenalkan tokoh seperti Rinus Michels dan Johan Cruyff, termasuk ketika beliau beraksi bersama Barcelona.
“Saya faham bahawa kini saya adalah orang asing di sini, tetapi saya banyak belajar daripada cara permainan Belanda dan apa yang saya pelajari itu,saya ingin kembalikan kepada Belanda.
“Saya di sini untuk membantu semua pemain dan kakitangan. Saya mahu membentuk sebuah keluarga besar bagi mencapai kemenangan.
“Itulah matlamat utama kami sebagai barisan kejurulatihan, khususnya saya sebagai ketua jurulatih,” ujarnya.
Xavi turut mengakui tekanan hadir bersama tugas itu, namun menyifatkannya sebagai cabaran yang digemarinya kerana beliau seorang yang sentiasa mahu menang.
“Saya faham kedudukan saya dan saya merasai tekanan ini, tetapi saya suka tekanan seperti ini.
“Saya seorang pemenang dan itulah yang saya tunjukkan sepanjang karier sebagai pemain dan jurulatih. Saya sudah bersedia,” katanya.
Xavi dijangka mengumumkan senarai pemain pertamanya dalam tempoh tiga minggu, menjelang perlawanan sulungnya dalam Liga Negara UEFA menentang Jerman di Amsterdam pada 24 September depan. – REUTERS