RM1.7 juta naik taraf Maahad Tahfiz Bestari Pulau Besar

Datuk Rahmad Mariman (dua dari kanan) bergambar bersama peserta Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka, di sini. / Foto RTM

BUKIT PALAH, 25 Ogos – Sebanyak RM1.7 juta diperuntukkan bagi kerja menaik taraf kemudahan di Maahad Tahfiz Bestari Pulau Besar termasuk menggantikan struktur bangunan lama serta memperbaharui sistem pendawaian elektrik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerja naik taraf penting kerana sebahagian bangunan berusia lebih tiga dekad.
  • Permohonan kebenaran merancang dihantar kepada MBMB; pelaksanaan akan dilakukan oleh MCORP.
  • Peruntukan diterima daripada MAIWP dan Majlis Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional Melaka.
  • Kebakaran sebelum ini hanya rosakkan beberapa barang stor; tiada kecederaan, kerajaan guna peruntukan sedia ada untuk baik pulih.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, kerja naik taraf itu penting memandangkan sebahagian bangunan maahad berkenaan telah berusia lebih tiga dekad.

“Ketika ini, permohonan kebenaran merancang sedang dibuat kepada MBMB. Selepas kelulusan diperoleh, pelaksanaan projek akan dilakukan oleh MCORP.

“Bangunan berstruktur kayu akan digantikan dengan binaan batu. Pendawaian elektrik yang lama juga akan diganti baharu, selain kerja menaik taraf kemudahan lain,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka Tahun 1448H/2026M, di sini.

Jelasnya lagi, peruntukan itu diterima daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Melaka.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah bangunan di maahad berkenaan terbakar, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Datuk Rahmad berkata, kerajaan negeri akan menggunakan peruntukan sedia ada bagi membantu kerja membaik pulih bahagian bangunan yang terjejas kebakaran.

Menurutnya, kejadian itu hanya melibatkan kerosakan beberapa barangan seperti tilam dan katil yang disimpan di stor.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.