
SERDANG, 25 Ogos – Sambutan Maulidur Rasul perlu diteruskan dengan pembudayaan ilmu, selain penghayatan terhadap perjuangan dan akhlak Rasulullah SAW.
- Budayakan sambutan Maulidur Rasul melalui pemupukan ilmu dan penghayatan akhlak Rasulullah SAW.
- Pastikan kesinambungan pasca sambutan dengan program susulan seperti Majlis Sama' Hadis Sahih dan Majlis Dirayah Riwayah Hadis.
- Jadikan sambutan bukan sekadar acara tahunan tetapi sebagai medan penghayatan dan amalan berterusan.
- Tema MADANI Dihayati, Ummah Diberkati menyatukan lebih 4,000 peserta dari agensi, swasta dan NGO.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, langkah itu penting bagi memastikan sambutan berkenaan tidak terhenti sebagai acara tahunan semata-mata.
Jelas beliau, pihaknya memberi perhatian terhadap kesinambungan pengisian selepas sambutan utama menerusi program susulan yang dirancang.
“Kita akan meneruskan Majlis Sama’ Hadis Sahih pada November ini. Kita juga telah melaksanakan Majlis Dirayah Riwayah Hadis serta pelbagai inisiatif lain.
“Seperti yang disebut Perdana Menteri, kita bukan hanya mengadakan majlis, tetapi yang lebih penting ialah penghayatan terhadap sambutan Maulidur Rasul SAW,” katanya.
Beliau ditemui pada Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H/2026M, di sini.
Sambutan bertemakan “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati” itu menghimpunkan lebih 4,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menghadirinya.