
SERDANG, 25 Ogos – Sambutan Maulidur Rasul merupakan medan menyemai penghayatan terhadap nilai-nilai Islam.
- Sambutan bukan sekadar acara tahunan atau perarakan, malah untuk memaknai risalah kenabian dan mengambil iktibar.
- Menggalakkan pembentukan ummah cemerlang yang menjadi contoh kepada masyarakat majmuk.
- Cabaran kemajmukan menuntut umat Islam menjadi teladan bukan hanya bagi Islam tetapi untuk semua manusia.
- Meneladani Rasulullah SAW melalui akhlak mulia dan sikap toleransi bagi menarik kefahaman terhadap keindahan Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sambutan berkenaan tidak seharusnya hanya dilihat sebagai acara tahunan dan perarakan semata-mata.
Sebaliknya, menjadi ruang untuk umat Islam memaknai risalah kenabian, seterusnya mengambil iktibar ke arah membentuk ummah yang cemerlang dan menjadi contoh kepada masyarakat.
“Tentang kemajmukan di Malaysia. Cabaran bagi kita ialah menghayati supaya umat Islam itu menjadi contoh terbaik bukan saja bagi umat Islam, tapi bagi umat manusia, rakyat Malaysia, dan umat manusia keseluruhannya.
“Ini kerana cabaran Islam itu bukan hanya untuk mempamerkan untuk mengherdik, tetapi untuk menarik minat melalui contoh terbaik”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2026 di Universiti Putra Malaysia, Serdang.
Datuk Seri Anwar menyeru umat Islam untuk meneladani pendekatan Rasulullah SAW yang menjadi contoh terbaik kepada manusia.
Jelasnya, Islam perlu dizahirkan menerusi akhlak yang baik dan sikap toleransi bagi menarik masyarakat memahami keindahan ajarannya.