
ALOR SETAR, 25 Ogos – Sebanyak 3,965 hektar kawasan hutan paya laut di seluruh negara berjaya dipulihkan melalui penanaman lebih 9.3 juta pokok bakau dan spesies lain yang bersesuaian.
- Peruntukan RM71.3 juta sehingga 2025 untuk penanaman, penyelenggaraan, penyelidikan, pemantauan dan kesedaran awam pesisiran pantai.
- RM2 juta diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 untuk pemuliharaan hutan paya laut dan kawasan pesisiran pantai 2026.
- Usaha pemuliharaan kolaboratif melibatkan JPSM, jabatan perhutanan negeri, institut penyelidikan, 12 NGO dan komuniti setempat.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memelihara dan memulihara ekosistem pesisiran pantai.
“Sehingga 2025, RM71.3 juta diperuntukkan melalui program penanaman pokok bakau dan spesies lain bersesuaian di pesisiran pantai negara bagi melaksanakan aktiviti penanaman, penyelenggaraan, penyelidikan, pemantauan serta kesedaran awam.
“Bagi meneruskan agenda itu, RM2 juta diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 bagi melaksanakan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya laut, serta kawasan pesisiran pantai bagi tahun 2026 melibatkan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Datuk Seri Arthur berkata demikian demikian menerusi teks yang dibacakan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Datuk Mohd Radhi Chu Abdullah pada Majlis Perasmian Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di sini.
Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin berkenan menyempurnakan majlis perasmian berkenaan.
Selain itu, Datuk Seri Arthur memaklumkan usaha pemuliharaan hutan paya laut dilaksanakan secara kolaboratif melibatkan JPSM, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hutan Sarawak dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, serta pelbagai pihak berkepentingan.
Menurutnya, penglibatan 12 Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan komuniti setempat turut menjadi antara faktor penting dalam memastikan usaha pemuliharaan dapat dilaksanakan secara berterusan menerusi aktiviti pendidikan alam sekitar, kesedaran awam dan pemuliharaan ekosistem.