
KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Pendidikan dan pengurusan kewangan usahawan perlu diberi perhatian dalam Belanjawan akan datang bagi memastikan bantuan yang disalur kerajaan dapat dimanfaat secara berkesan.
- Utamakan pendidikan usahawan untuk meningkatkan daya tahan dan pertumbuhan perniagaan jangka panjang.
- Sediakan latihan pengurusan aliran tunai dan perakaunan untuk memastikan keuntungan berterusan.
- Pertimbangkan pembiayaan berkonsep qardhul hasan atau pinjaman kebajikan tanpa keuntungan.
- Gabungkan pendidikan kewangan dengan bantuan pembiayaan untuk mengukuhkan keupayaan pengurusan dan operasi mampan.
Pengarah Urusan Elzar Shariah Solutions & Advisory Sdn Bhd, Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, selain menyediakan pembiayaan, kerajaan perlu memberi penekanan terhadap aspek pendidikan usahawan.
Ia bertujuan bagi memastikan usahawan lebih berdaya tahan dan mampu mengembangkan perniagaan untuk jangka panjang.
“Kerajaan juga perlu menyediakan pendidikan berkaitan pengurusan aliran tunai dan perakaunan kepada usahawan. Ini penting kerana tanpa pengurusan kewangan yang baik, keuntungan mungkin hanya bertahan seketika dan akhirnya perniagaan kembali berdepan masalah.
“Justeru, aspek pendidikan kewangan dan pengurusan aliran tunai perlu diberi perhatian segera oleh pihak kerajaan,” katanya kepada RTM.
Beliau berkata, kerajaan juga boleh mempertimbangkan pembiayaan berkonsep qardhul hasan atau pinjaman kebajikan tanpa kadar keuntungan bagi mengurangkan beban kewangan ditanggung golongan berkenaan.
Menurutnya, langkah itu dapat memberi ruang kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan, di samping memperkukuh keupayaan mengurus kewangan dan memastikan operasi perniagaan kekal mampan.