
BANGI, 19 Oktober – Hasil penyelidikan dan inovasi tempatan perlu diterjemahkan kepada produk serta teknologi yang memenuhi keperluan pasaran bagi meningkatkan daya saing negara dan kesejahteraan rakyat.
- Perkukuh budaya pengkomersialan dan keusahawanan teknologi; perluas peluang kepada penyelidik muda untuk mengembangkan idea inovatif.
- Bimbingan dalam harta intelek, pemindahan teknologi, pembangunan produk, pembiayaan dan strategi pasaran mesti diberikan kepada penyelidik.
- UKM lancarkan Peluncuran Teknologi, UKMESG dan UKM TechBridge untuk menghubungkan inovasi dengan industri, pelabur dan agenda ESG.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata, kerjasama erat antara universiti dengan industri penting bagi memastikan hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan pengguna akhir.
Menurutnya, penglibatan industri sejak peringkat awal penyelidikan membantu memastikan teknologi yang dibangunkan memenuhi keperluan pasaran dan masyarakat.
“Cabaran kita adalah untuk memastikan hasil penyelidikan ini dimanfaatkan oleh pengguna akhir. Untuk itu, penglibatan industri sejak peringkat awal penyelidikan amat penting bagi memastikan hasil yang dibangunkan memenuhi keperluan pasaran dan masyarakat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Festival Inovasi UKM 2026 (InnoFest 2026) dan peluncuran Bulan Semarak Penyelidikan UKM (SEMARAK 2026) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.
Datuk Chang turut menegaskan kepentingan memperkukuh budaya pengkomersialan dan keusahawanan teknologi, selain memperluas peluang kepada penyelidik muda untuk mengembangkan idea inovatif.
“Selain menghasilkan pengetahuan baharu, penyelidik perlu dibimbing dalam aspek harta intelek, pemindahan teknologi, pembangunan produk, pembiayaan dan strategi memasuki pasaran.
“Bimbingan dan sokongan perlu diberikan bagi mengembangkan idea baharu serta menghasilkan penyelesaian yang kreatif dan berimpak tinggi,” katanya.
Pada majlis itu, UKM turut meluncurkan beberapa inisiatif strategik bagi memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi, termasuk Peluncuran Teknologi UKM, platform UKMESG dan Sistem UKM TechBridge.
Ketiga-tiga inisiatif itu menyokong usaha mengetengahkan hasil inovasi kepada industri dan pelabur, memanfaatkan kepakaran akademik dalam agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), serta memperkukuh hubungan universiti dengan industri.
Festival Inovasi UKM 2026 dan SEMARAK 2026 turut menampilkan forum pengkomersialan inovasi penyelidikan, pameran penyelidikan dan inovasi serta sesi perkongsian teknologi bersama industri dan bakal pemberi dana.