
KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Hasil jualan syarikat pemula niaga tempatan merekodkan RM202.64 bilion sejak pelaksanaan inisiatif KL20 pada 2024, sekali gus mencerminkan perkembangan positif dalam usaha membangunkan ekosistem syarikat pemula negara.
- Sasaran KL20 menjadikan Malaysia antara 20 ekosistem syarikat pemula terbaik dunia menjelang 2030 dengan sasaran tambahan modal teroka RM750 juta dan penilaian RM400 bilion.
- Kerajaan menghubungkan program sedia ada dan menangani jurang sokongan pengasas termasuk pembiayaan susulan, kelulusan kawal selia, kemudahan pengujian, perolehan dan akses pasaran.
- Peralihan ke reka bentuk semikonduktor bernilai tinggi diperkukuh melalui kerjasama dengan Arm, Silicon X dan rakan antarabangsa untuk pembangunan cip generasi akan datang.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, jumlah itu direkodkan menerusi nilai pelaburan keseluruhan RM51.17 bilion dengan 5,016 syarikat pemula niaga berdaftar.
Menurut beliau, pencapaian itu sekali gus menyokong usaha Malaysia untuk mencapai sasaran berada dalam kelompok 20 ekosistem syarikat pemula terbaik dunia menjelang 2030 menerusi inisiatif KL20.
“Ketika ini, kedudukan kita berada dalam lingkungan tempat ke-30 hingga ke-40. Menjelang 2030, terdapat beberapa sasaran yang ingin dicapai. Dari segi pelaburan modal teroka, kita menyasarkan tambahan sebanyak RM750 juta. Bagi penilaian syarikat pemula pula, kita menyasarkan nilai sebanyak RM400 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena KL20@Kuala Lumpur 2026 di sini.
Tambah beliau, kerajaan komited menghubungkan program sedia ada serta menangani jurang sokongan pada peringkat pengasas bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Ini khususnya dari segi pembiayaan susulan, kelulusan kawal selia, kemudahan pengujian, perolehan dan akses pasaran dengan tanggungjawab yang jelas serta pencapaian penting yang boleh diukur,” katanya lagi.
Jelas beliau, KL20@Kuala Lumpur 2026 turut memperkukuh usaha Malaysia beralih kepada reka bentuk semikonduktor bernilai tinggi menerusi kerjasama industri dan akses kepada teknologi bagi membantu inovator tempatan membangunkan harta intelek, mengkomersialkan produk serta bersaing di pasaran global.
“Silicon X dan Tokyo Artisan Intelligence dari Jepun sedang meneroka pembangunan bersama, pembinaan prototaip dan pengkomersialan cip kecerdasan buatan (AI) boleh konfigurasi semula dengan menggabungkan seni bina cip Malaysia dan algoritma AI termaju,” katanya lagi.
Menerusi kerjasama dengan Arm, lima syarikat Malaysia iaitu Alphaswift Industries, Oppstar Technology, SkyeChip, GreatAsic Technology dan Xenith Technology memperoleh akses kepada teknologi bertaraf dunia bagi pembangunan cip generasi akan datang yang merangkumi aplikasi dron, telekomunikasi, pusat data, peranti pintar dan automotif.
“Xenith Technology dan GreatAsic Technology turut menjalinkan kerjasama bagi memperkukuh ekosistem semikonduktor tempatan. Perkembangan itu meneruskan usaha Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor Malaysia untuk membantu syarikat tempatan beralih daripada aktiviti pemasangan, pengujian dan pembungkusan kepada reka bentuk semikonduktor bernilai lebih tinggi,” jelasnya.