Perdagangan Malaysia lonjak 53.7% kepada RM396.5 bilion pada September

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Malaysia mengekalkan prestasi perdagangan yang kukuh pada September 2026 apabila jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing merekodkan nilai bulanan tertinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah perdagangan bulan September melonjak 53.7% kepada RM396.50 bilion.
  • Eksport September naik 54.5% kepada RM215.11 bilion, pertumbuhan terpantas sejak April 2021, melepasi RM200 bilion.
  • Import meningkat 52.7% kepada RM181.39 bilion; lebihan dagangan RM33.72 bilion, 77 bulan berturut-turut.
  • Jan hingga Sept: jumlah perdagangan naik 30.1% kepada RM2.91 trilion; lebihan dagangan RM232.38 bilion, meningkat 115.7%.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, jumlah perdagangan melonjak 53.7 peratus tahun ke tahun kepada RM396.50 bilion.

”Bagi bulan sama, eksport melonjak 54.5 peratus kepada RM215.11 bilion, mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak April 2021, sekali gus melepasi nilai RM200 bilion buat pertama kali.

Sementara itu, import meningkat 52.7 peratus kepada RM181.39 bilion, menjadikan lebihan dagangan sebanyak RM33.72 bilion, lebihan bagi tempoh 77 bulan berturut-turut sejak Mei 2020,” menurut MITI dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk tempoh Januari hingga September 2026, jumlah perdagangan meningkat 30.1 peratus tahun ke tahun kepada RM2.91 trilion.

Bagi tempoh sama, eksport berkembang 34.0 peratus kepada RM1.571 trilion, manakala import naik 25.7 peratus kepada RM1.339 trilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM232.38 bilion dengan pertumbuhan 115.7 peratus.

“Momentum perdagangan positif yang dicatatkan dari Januari hingga September 2026 adalah sejajar dengan prospek yang menggalakkan untuk perdagangan luar dan pertumbuhan ekonomi negara.

“Menurut Tinjauan Ekonomi 2027 Kementerian Kewangan (MoF), jumlah perdagangan diunjurkan berkembang 27.2 peratus pada 2026, dengan eksport meningkat 31 peratus dan import naik 23.1 peratus,” menurutnya.

Mengulas selanjutnya, pertumbuhan eksport bagi sembilan bulan pertama 2026 disokong peningkatan eksport sektor perkilangan dan hasil galian, dengan kedua-duanya mencatatkan pertumbuhan dua angka.

Dari segi pasaran, prestasi eksport Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan eksport ke rakan dagang utama terutamanya ke ASEAN yang meningkat 46.2 peratus kepada nilai tertinggi pernah direkodkan sebanyak RM59.55 bilion.

Perdagangan dengan rakan kongsi Malaysia dalam perjanjian perdagangan bebas (FTA) turut mencatatkan peningkatan, mencerminkan permintaan yang lebih kukuh di pasaran seperti Hong Kong, Jepun, India, Korea, Australia, Mexico, Türkiye, United Kingdom, Kanada dan Peru.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.