PGA gagalkan cubaan bawa enam ekor lembu tanpa permit

Enam ekor lembu pedaging seberat kira-kira 2,400 kilogram dirampas PGA dalam operasi di Pasir Mas, Kelantan/Foto Briged Tenggara

PASIR MAS, 25 Ogos – Kira-kira enam ekor lembu dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara selepas sebuah lori yang membawa ternakan berkenaan ditahan di Kampung Taman, Pasir Mas, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemandu lori berusia 25 tahun ditahan semasa pemeriksaan.
  • Lori dikesan mencurigakan ketika rondaan di KTJ Jeram Perdah kira-kira pukul 1 tengah hari.
  • Pemandu gagal mengemukakan dokumen lengkap; invois juga tidak lengkap dan meragukan.
  • Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut; kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, seorang lelaki berusia 25 tahun yang memandu lori berkenaan turut ditahan.

Beliau berkata, lori itu dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika anggota PGA Kuantan menjalankan rondaan di KTJ Jeram Perdah kira-kira pukul 1 tengah hari.

“Anggota mengekori lori berkenaan sebelum menahannya untuk pemeriksaan di Kampung Taman.

“Pemeriksaan mendapati lori membawa enam ekor lembu, namun pemandu gagal mengemukakan dokumen lengkap berkaitan ternakan berkenaan,” katanya dalam kenyataan malam Isnin.

Menurutnya, invois yang dikemukakan pemandu juga didapati tidak lengkap dan meragukan.

Katanya, keenam-enam lembu itu seberat kira-kira 2,400 kilogram (kg) dengan nilai RM36,000, manakala lori yang digunakan bernilai RM80,000.

“Hasil siasatan awal mendapati lembu berkenaan diambil dari kandang di Kampung Repek, Pasir Mas untuk dihantar ke Bachok.

“Pemandu menerima upah RM100 bagi setiap penghantaran,” katanya.

Ahmad Radzi berkata, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.