Penerapan AI dalam perfileman perlu berpaksikan nilai dan akhlak Malaysia – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat pameran pada Majlis Perasmian Menara FINAS Damansara hari ini/ Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 24 Ogos – Industri perfileman negara perlu bergerak lebih berani, kreatif dan terbuka selari dengan perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), animasi dan kandungan digital, namun kekal berpaksikan budaya, nilai serta akhlak masyarakat Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gabungkan kemajuan teknologi dengan jati diri budaya untuk membina industri kreatif kebangsaan yang kukuh dan bertaraf antarabangsa.
  • Kekal terbuka tetapi tidak sehingga melunturkan nilai, akhlak dan budaya; jangan terlalu mengongkong agar kreativiti berkembang.
  • Sediakan ruang berkarya luas supaya penggiat seni menghasilkan karya berkualiti dan relevan menembusi pasaran global.
  • Kerajaan MADANI memperkukuh ekosistem perfileman melalui penambahbaikan dasar, sokongan lebih kuat dan pelaburan berterusan dalam seni budaya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak boleh memilih antara kemajuan teknologi atau jati diri budaya.

Sebaliknya, kedua-duanya perlu digembleng bagi membina industri kreatif yang lebih kukuh, kompetitif dan bertaraf antarabangsa.

“Sikap kita itu harus juga lebih lunak, lebih terbuka. Tidak terbuka sehingga luntur budaya dan akhlak dan nilai. Tapi tidak terlalu mengongkong. Bayangkan filem mahu dikembangkan sebagai suatu industri yang lebih kompetitif dan menarik tetapi terlalu banyak sekatan dan kongkongan. Tidak mungkin berkembang,” katanya ketika berucap merasmikan Menara FINAS di Damansara, hari ini.

Menurut Datuk Seri Anwar, industri filem memerlukan ruang berkarya yang lebih luas agar penggiat seni mampu menghasilkan karya berkualiti, relevan dengan tuntutan semasa dan berupaya menembusi pasaran global.

Pada masa sama, kerajaan MADANI akan terus memperkukuh ekosistem perfileman menerusi penambahbaikan dasar, peningkatan sokongan kepada penggiat seni serta pelaburan berterusan dalam sektor filem, teater, sastera dan seni budaya sebagai pemangkin kekuatan negara.

“Saya mahu Malaysia terangkat kerana kekuatan ekonominya dan budaya yang diperkasa kerana ia memberikan kekuatan kepada negara kita,” tambah beliau lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.