
KUALA KANGSAR, 24 Ogos – Projek Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) kini memasuki fasa pelaksanaan selepas pembiayaan bernilai RM5.55 billion berjaya diperoleh menerusi terbitan sukuk.
- Projek WISE kini pada peringkat akhir mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan utama.
- Kerja-kerja pengambilan tanah juga telah dimulakan.
- WISE dilaksana menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta tanpa melibatkan peruntukan daripada kerajaan negeri.
- Laluan sekitar 60 kilometer menghubungkan Gopeng dengan Kuala Kangsar, menjadi alternatif kepada Lebuhraya Utara-Selatan terutamanya Terowong Menora.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perkembangan itu membolehkan projek berkenaan diteruskan selepas sebelum ini berdepan kekangan mendapatkan pembiayaan.
“Projek kini berada pada peringkat akhir mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan utama, manakala kerja-kerja pengambilan tanah juga telah bermula.
“Dana telah diperoleh dan kerja-kerja berkaitan pengambilan tanah juga telah dimulakan. Itu yang dilaporkan kepada saya,” katanya dalam sidang media Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak siri ke-6 di Dewan Jubli Perak, di sini.
WISE dilaksana menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dengan tidak melibatkan peruntukan daripada kerajaan negeri.
WISE sepanjang kira-kira 60 kilometer bakal menghubungkan Gopeng dengan Kuala Kangsar, akan menjadi laluan alternatif kepada pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) khususnya laluan Terowong Menora.