
PUTRAJAYA, 24 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijangka menghadiri majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1448H/2026, esok.
- Tema sambutan: "MADANI Dihayati, Ummah Diberkati".
- Perarakan melibatkan 4,000 peserta daripada 100 kontinjen kementerian, agensi dan badan berkanun.
- Penyampaian Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan jadi acara kemuncak, satu Anugerah Perdana dan lapan penerima lain.
- Program termasuk perarakan dengan alunan Selawat, Bicara Khas Wanita serta program Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan.
Penganjuran yang berlangsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, dijadual bermula pada pukul 7.30 pagi.
Kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee memaklumkan sambutan bertemakan “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati” bakal dimeriahkan dengan penyertaan perarakan 4,000 peserta daripada 100 kontinjen kementerian, agensi serta badan berkanun.
“Penyampaian Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan melibatkan seorang penerima Anugerah Perdana dan lapan penerima Anugerah Maulidur Rasul kepada individu yang telah memberikan sumbangan dalam bidang pembangunan agama, bangsa dan negara serta memberi impak positif terhadap kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat merupakan acara kemuncak sambutan.
“Antara pengisian sambutan termasuk perarakan kontinjen dengan alunan Selawat, program Bicara Khas Wanita serta program anjuran Masjid Negara, Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
“Penghayatan Maulidur Rasul turut diperluas menerusi edisi khas Podcast JAKIM Untuk Ummah yang disiarkan secara langsung menerusi media sosial rasmi JAKIM,”menurut kenyataan itu lagi.