
KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Sebanyak 25 kenderaan dan 15 motosikal berkuasa tinggi melibatkan hampir 50 peserta menyertai Konvoi Kembara Merdeka bersama Warga Olympia, bermula dari ibu negara menuju ke Melaka.
- Konvoi sebahagian WISDOM MERDEKA 2026 anjuran Institut Merdeka Malaysia untuk menyemarakkan semangat patriotik dan kebijaksanaan masyarakat.
- Mesej utama menekankan tanggungjawab rakyat, membina negara bersatu, berilmu dan saling mengambil berat.
- Melaka dipilih simbol sejarah dan kepimpinan; dialog Merdeka Minda, Membina Negara mengetengahkan peranan ilmu dalam pembentukan peradaban.
Pengerusi Kehormat dan Canselor Olympia Education Malaysia (OEM), Tan Sri Dr Mohamed Yusof Mohamed Noor berkata, konvoi itu merupakan sebahagian pengisian program WISDOM MERDEKA 2026 yang dianjurkan Institut Merdeka Malaysia (MIM) sempena Hari Kebangsaan.
Menurutnya, konvoi berkenaan membawa mesej penting untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat.
“Setiap kenderaan membawa Jalur Gemilang, namun mesej lebih penting ialah tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia.
“Destinasi kami Melaka, tetapi perjalanan lebih besar ialah membina negara yang bersatu, berilmu dan saling mengambil berat,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran WISDOM MERDEKA 2026 dan Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Olympia di sini, hari ini.
Menurut Tan Sri Dr Mohamed Yusof lagi, pemilihan Melaka sebagai destinasi konvoi turut membawa simbolik tersendiri kerana negeri itu mempunyai nilai sejarah dan kepimpinan yang selari dengan semangat WISDOM MERDEKA 2026.
Dalam konteks itu, beliau menyebut peranan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dalam aktiviti sosial serta usaha memperkukuh nilai kebijaksanaan dalam pendidikan.
Katanya, kebijaksanaan pemimpin dan institusi merupakan antara elemen penting yang menyumbang kepada kemajuan negara sejak merdeka, selain terus membentuk hala tuju Malaysia pada masa hadapan.
WISDOM MERDEKA 2026 turut menampilkan dialog bertajuk“Merdeka Minda, Membina Negara” yang membincangkan peranan ilmu dalam memerdekakan pemikiran, pembentukan peradaban serta pembangunan negara.