Malaysia-Indonesia perkukuh kerjasama tangani jerebu, El Nino

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup mengadakan panggilan telefon bersama Menteri Lingkungan Hidup Republik Indonesia, Moh Jumhur Hidayat – Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Malaysia dan Indonesia mempertingkatkan kerjasama dalam usaha menangani jerebu rentas sempadan susulan ancaman cuaca panas dan fenomena El Nino dengan fokus utama kepada tindakan pencegahan serta pemadaman awal kebakaran hutan dan tanah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia dan Indonesia mempertingkat kerjasama menangani jerebu rentas sempadan dan ancaman El Nino melalui tindakan pencegahan dan pemadaman awal.
  • Tumpuan pada pengesanan titik panas, perkongsian maklumat serta pengerahan aset pantas sebelum kebakaran menjadi besar.
  • Malaysia menghargai usaha pantas Indonesia termasuk penambahan anggota TNI, penggunaan helikopter water bombing dan operasi modifikasi cuaca agresif.
  • NADMA dan METMalaysia menyelaraskan jadual operasi OPA dengan Panglima TNI untuk pemantauan titik panas dan kualiti udara lebih rapi.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, persediaan menghadapi El Nino menjadi semakin kritikal apabila fenomena itu dijangka mencapai kemuncak menjelang Oktober, serentak dengan Monsun Barat Daya.

Sekali gus, meningkatkan risiko keadaan panas dan kering serta kebakaran yang boleh mencetuskan jerebu rentas sempadan.

Beliau berkata, kedua-dua negara komited melipatgandakan tindakan pencegahan dan pemadaman awal bagi memastikan kualiti udara bertambah baik menjelang sambutan Hari Kebangsaan Malaysia 2026 pada 31 Ogos serta Hari Malaysia pada 16 September yang bakal berlangsung di Kuching, Sarawak.

“Malaysia menghargai dan menyokong tindakan pantas Kerajaan Indonesia bawah kepimpinan Presiden Prabowo (Subianto) yang menggandakan usaha pemadaman termasuk penambahan 1,500 anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI), penggunaan helikopter berkapasiti besar bagi kaedah ‘water bombing’ serta pelaksanaan operasi modifikasi cuaca secara agresif di lapangan.

“Pendekatan itu penting kerana cabaran jerebu tidak lagi boleh ditangani sekadar melalui operasi pemadaman selepas kebakaran tercetus, sebaliknya memerlukan sistem pengesanan titik panas, perkongsian maklumat dan pengerahan aset yang pantas sebelum kebakaran menjadi lebih besar dan sukar dikawal,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan panggilan telefon bersama Menteri Lingkungan Hidup Republik Indonesia, Moh Jumhur Hidayat pada Isnin.

Sementara itu, Datuk Seri Arthur berkata, kerajaan Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Indonesia atas persetujuan dan kebenaran rasmi yang diberikan untuk merentasi ruang udara Indonesia bagi pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang melibatkan kawasan di sempadan kedua-dua negara.

Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) kini sedang merangka jadual operasi sebelum diselaraskan bersama Panglima TNI, sekali gus mencerminkan keperluan penyelarasan operasi yang lebih rapat dalam menghadapi keadaan cuaca ekstrem.

“Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan terus memantau rapi pergerakan titik panas dan kualiti udara semasa menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta MET Malaysia, selain mengekalkan hubungan erat bersama pihak berkuasa Republik Indonesia demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.