Cheah Zen Hong, Eliza Tan dinobatkan Olahragawan,Olahragawati SUKMA 2026

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan anugerah atlet lelaki terbaik SUKMA Selangor 2026 kepada Atlet menembak Pahang, Cheah Zen Hong pada majlis penutupan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Aneka Walk /Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 24 Ogos — Atlet menembak Pahang, Cheah Zen Hong dan perenang Selangor, Eliza Tan Ai Shen masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cheah Zen Hong menamatkan saingan dengan sembilan pingat emas dan satu perak, serta mencipta dua rekod baharu SUKMA.
  • Kejayaan Zen Hong lebih bermakna selepas kekecewaan gagal meraih anugerah pada SUKMA Sarawak 2024.
  • Eliza Tan menyumbang enam pingat emas, empat rekod baharu SUKMA dan dua rekod kebangsaan dalam acara renang.
  • Selangor muncul juara keseluruhan SUKMA 2026 dengan 245 pingat: 101 emas, 73 perak, 71 gangsa.

Zen Hong mengukuhkan pengiktirafan itu selepas menamatkan saingan dengan sembilan pingat emas dan satu perak, selain mencipta dua rekod baharu SUKMA menerusi acara 10 meter (m) Air Pistol dan 25m Sport Pistol Individu Lelaki.

Lebih bermakna, kejayaan itu hadir selepas kekecewaannya apabila gagal meraih gelaran sama pada SUKMA Sarawak 2024, meskipun pernah dicalonkan bagi anugerah berkenaan.

“Pada SUKMA Sarawak, saya sudah dicalonkan sebagai Olahragawan tetapi tidak berjaya.

“Memang ada rasa kecewa ketika itu, tetapi saya anggap mungkin belum rezeki. Jadi, saya tekad untuk melakukan yang terbaik pada SUKMA 2026,” katanya ketika ditemui media.

Zen Hong berkata, pengiktirafan berkenaan bukan sasaran utamanya pada edisi kali ini, sebaliknya beliau memberi tumpuan untuk mencatat prestasi terbaik dan membantu Pahang meraih sebanyak mungkin pingat.

“Saya tidak meletakkan anugerah Olahragawan sebagai sasaran utama. Fokus saya kali ini adalah untuk memberikan yang terbaik dan memenangi sebanyak mungkin pingat untuk Pahang,” katanya.

Sementara itu, Eliza dinobatkan sebagai Olahragawati SUKMA 2026 selepas menyumbang enam pingat emas, selain mencipta empat rekod baharu SUKMA dan dua rekod kebangsaan dalam saingan renang.

Selangor turut muncul juara keseluruhan SUKMA 2026 selepas mengumpul 245 pingat, terdiri daripada 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.