
KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Selepas empat dekad dianjurkan, Sukan Malaysia (SUKMA) terus menjadi medan menyatukan bakat, semangat dan daya juang anak muda dari seluruh negara, termasuk Brunei Darussalam.
- Anwar menggesa anak muda terus berjuang dan asah bakat, ada yang bakal menggalas nama Malaysia di pentas dunia.
- Selangor muncul juara keseluruhan SUKMA XXII.
- Eliza Tan Ai Shen Atlet Wanita Terbaik, Cheah Zen Hong Atlet Lelaki Terbaik SUKMA 2026.
- Kelantan akan menjadi tuan rumah SUKMA dan Para SUKMA 2028.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, SUKMA yang dilancarkan pada 1986 itu merupakan cetusan ilhamnya ketika menjawat Menteri Belia dan Sukan pada 1983.
Katanya, SUKMA bukan sekadar medan merebut pingat, sebaliknya menjadi gelanggang mencungkil bakat dan melahirkan juara.
“Kepada anak-anak muda, teruskan berjuang dan asah bakat kerana insya-Allah, ada antara kalian yang bakal menggalas nama Malaysia di pentas dunia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri turut merakamkan tahniah kepada atlet Selangor, Eliza Tan Ai Shen yang dinobatkan sebagai Atlet Wanita Terbaik, manakala Cheah Zen Hong dari Pahang dipilih sebagai Atlet Lelaki Terbaik SUKMA 2026.
“Lebih manis, tuan rumah, Selangor muncul Juara Keseluruhan SUKMA XXII,” katanya.
Tuan rumah Selangor mengesahkan gelaran juara keseluruhan SUKMA 2026 selepas mengumpul 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa, mengatasi Wilayah Persekutuan dan Terengganu.
Dalam hantaran sama, Perdana Menteri menzahirkan penghargaan atas keberangkatan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mewakili Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke Majlis Penutupan SUKMA XXII malam ini.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua atlet, jurulatih, pegawai dan urus setia yang menjayakan temasya berkenaan.
“Tahniah semua! Teruskan melangkah dan terus mengharumkan nama negara,” katanya.
SUKMA Selangor 2026 melabuhkan tirai malam tadi (Selasa) selepas berlangsung selama sembilan hari, dengan majlis penutupan edisi ke-22 itu diadakan secara sederhana di Aneka Walk, Shah Alam Sentral.
SUKMA Selangor mempertandingkan 37 jenis sukan membabitkan 368 acara yang berlangsung di sembilan daerah di seluruh negeri dengan menggunakan 51 fasiliti pertandingan.
Kelantan akan menjadi tuan rumah SUKMA dan Para SUKMA 2028.