
KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan Salam Maulidur Rasul kepada seluruh umat Islam di negara ini.
- Ucapan ringkas dizahirkan menerusi hantaran di Facebook rasmi Baginda.
- Sultan dan Raja Permaisuri Agong dijadual berangkat hadir Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di UPM, Serdang.
- Sambutan bertema "MADANI Dihayati, Ummah Diberkati" melibatkan kira-kira 4,000 peserta, penyampaian anugerah dan siaran langsung TV1 serta JAKIM.
Ucapan ringkas itu dizahirkan menerusi hantaran di Facebook rasmi Baginda, hari ini.
Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dijadual berangkat menghadiri Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, esok.
Sambutan bertemakan “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati” itu dijadual bermula pukul 7.30 pagi dengan kira-kira 4,000 peserta daripada 100 kontinjen kementerian, agensi dan badan berkanun dijangka menyertainya.
Kemuncak majlis ialah penyampaian Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M membabitkan seorang penerima Anugerah Perdana dan lapan penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW.
Sambutan yang berlangsung hingga 12 tengah hari itu akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 serta radio dan media sosial rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).