Trump ancam tarif 50 peratus ke atas kereta, keluli Kanada mulai 2027

Kilang GM di Oshawa, Ontario, Kanada, menjadi tumpuan susulan penangguhan tarif baharu Amerika Syarikat terhadap Kanada/Foto REUTERS

WASHINGTON, 24 Ogos – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin meningkatkan lagi ketegangan perang dagang dengan Kanada dengan mengumumkan rancangan menaikkan tarif terhadap pelbagai barangan import dari Kanada kepada 50 peratus mulai 1 Januari 2027, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump umum tarif 50 peratus ke atas kereta, trak, alat ganti automotif dan keluli.
  • AS kini mengenakan tarif 25 peratus ke atas kereta, trak dan alat ganti di bawah Seksyen 232.
  • Rundingan antara perunding kedua-dua negara gagal; tarif 50 peratus dikuatkuasakan malam selepas rundingan tamat.
  • Kanada ancam balas dolar-untuk-dolar; barangan terjejas kira-kira US$20 bilion termasuk kayu hoki, perabot, madu dan wain, berkuat kuasa 8 September.

Tarif ke atas kereta, trak besar dan kecil, alat ganti automotif serta keluli akan dinaikkan kepada 50 peratus, kata Trump menerusi platform Truth Social.

“Bina di AS dan tiada tarif dikenakan,” tulis Trump.

Menurut angka Kerajaan Kanada, AS ketika ini mengenakan tarif 25 peratus ke atas kereta, trak dan alat ganti berkaitan yang diimport di bawah Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan 1962.

Tarif antara 10 hingga 50 peratus turut dikenakan ke atas import keluli, aluminium dan tembaga.

Trump sekali lagi mempertahankan ancamannya dengan menuduh Kanada mengambil kesempatan terhadap AS.

“Kanada mengaut keuntungan daripada Amerika Syarikat selama bertahun-tahun,” katanya, sambil mendakwa AS tidak bergantung kepada perdagangan dengan negara jirannya itu.

“Kita tidak perlukan Kanada, mereka perlukan kita!” kata Trump.

Perunding dari kedua-dua negara mengadakan rundingan sehingga Jumaat malam dalam usaha mencapai persetujuan dan mengelakkan tarif yang diancam Trump.

Selepas rundingan itu gagal, tarif 50 peratus terhadap pelbagai barangan Kanada berkuat kuasa pada malam berikutnya.

Langkah berkenaan melibatkan barangan Kanada bernilai kira-kira US$20 bilion, bersamaan kira-kira lima peratus daripada jumlah import, termasuk kayu hoki, perabot, madu dan wain.

Kanada berikrar mengenakan tarif timbal balik “dolar-untuk-dolar”, dengan Perdana Menteri Mark Carney berkata langkah itu akan berkuat kuasa pada 8 September. – BERNAMA-dpa

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.