Raja Muda Kedah zahir komitmen pelihara hutan paya laut

Majlis Perasmian Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026 disempurnakan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin/Foto Polis Kedah

ALOR SETAR, 25 Ogos — Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026 di sini, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Majlis bertemakan "Ekosistem Hutan Paya Laut Ke Arah Kelestarian Ekonomi Biru" bertujuan memperkukuh kesedaran dan komitmen pemeliharaan ekosistem.
  • Sijil penghargaan disampaikan kepada empat NGO dan komuniti yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memelihara hutan paya laut.
  • Seminar JPSM dan FRIM menampilkan 12 kertas kerja, 15 poster teknikal dan sembilan reruai pameran untuk berkongsi ilmu dan amalan terbaik.

Majlis bertemakan “Ekosistem Hutan Paya Laut Ke Arah Kelestarian Ekonomi Biru” itu bertujuan memperkukuh kesedaran dan komitmen semua pihak terhadap kepentingan pemeliharaan serta pemuliharaan ekosistem hutan paya laut sebagai aset alam sekitar, ekonomi dan sosial negara.

Pada majlis itu, Raja Muda Kedah turut berkenan menyampaikan sijil penghargaan kepada empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memelihara ekosistem hutan paya laut.

Empat penerima berkenaan ialah Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Kampung Taman Nilam, Kelab Pendidikan dan Kebajikan Puncak Lembah Bujang serta Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING).

Turut hadir Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Radhi Chu Abdullah.

Sambutan berkenaan turut disokong penganjuran Seminar Hutan Paya Laut dan Pesisiran Pantai Peringkat Kebangsaan 2026 oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Seminar itu menampilkan 12 kertas kerja, 15 poster teknikal serta sembilan reruai pameran berkaitan pengurusan, penyelidikan dan pemuliharaan hutan paya laut.

Platform berkenaan menyediakan ruang kepada penyelidik, pegawai teknikal, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan untuk berkongsi ilmu serta amalan terbaik bagi memperkukuh pengurusan ekosistem hutan paya laut negara.

Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa yang disambut pada 26 Julai setiap tahun merupakan manifestasi komitmen masyarakat global dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan ekosistem berkenaan.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.